KUALA LUMPUR:Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa dan peranan bagi memastikan pihak tertentu tidak mengambil pendekatan memanipulasikan undang-undang dalam Perlembagaan sekiranya negara mengisytiharkan darurat.

Pakar Perlembagaan, Profesor Dr. Shamrahayu Ab Aziz berkata, ini penting untuk baginda menetapkan satu penanda aras berhubung perkara yang perlu dilakukan kerajaan dalam tempoh tersebut.

"Ini yang menjadi tanda tanya rakyat dan ada antara mereka menganggap Perlembagaan ketika tempoh pengisytiharan darurat akan membenarkan semua perkara boleh dilakukan Jemaah Menteri.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Darurat? Ini perkembangan politik negara

"Tetapi peranan raja-raja juga boleh dimainkan supaya tidak ada pihak yang cuba untuk mengambil kepentingan diri mereka sahaja," katanya ketika ditemu bual menerusi Buletin AWANI pada Ahad.

Mengulas lanjut, Shamrahayu menjelaskan, undang-undang sedia ada yang termaktub dalam Perlembagaan boleh diteruskan ketika negara berada dalam tempoh darurat.

"Bercakap tentang undang-undang bercanggah dengan Perlembagaan, ramai berkata begitu tetapi kita kena ingat walaupun dalam keadaan darurat, tidak semestinya kerajaan buang undang-undang sedia ada.

"Undang-undang ini boleh diteruskan tetapi ia akan membuka ruang kepada kerajaan untuk bertindak sekiranya tidak mahu menggunakan undang-undang asal dan buang undang-undang baru. Ini dibenarkan oleh Perlembagaan.

"Selain itu, Perlembagaan juga tidak menghalang undang-undang sedia ada untuk diamalkan dan mahkamah juga boleh memainkan peranan dalam keadaan darurat ini," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setiap undag-undang yang diwujudkan kerajaan ketika tempoh darurat juga perlu tertakluk kepada tujuan darurat dilaksanakan.

"Oleh itu, penting di sini untuk kerajaan memperincikan apakah tujuan darurat dibuat dan peraturan atau undang-undang baharu yang akan dibuat nanti perlu merujuk kepada tujuan asal darurat berkenaan," ujarnya.