KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, Senator Datuk C Sivaraj dipecat sebagai ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC berkuatkuasa 11 Mei lalu.

Beliau ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.

"Ya, saya telah dipecat sebagai ahli CWC, namun saya tidak diberi sebarang alasan," katanya di sini, pada Selasa.

Surat pemecatan bertarikh 10 Jun 2023 itu ditandatangani Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

Dalam surat berkenaan, Vigneswaran mengucapkan penghargaan kepada Sivaraj atas sumbangan beliau sepanjang memegang jawatan itu yang disebut berakhir pada 11 Mei lalu.

Namun tiada sebarang penjelasan atau alasan diberikan mengenai pemecatan itu.

Tempoh perkhidmatan Sivaraj sebagai ahli CWC sepatutnya berakhirnya pada 2024. 

Beliau dilantik ke jawatan itu pada pemilihan parti itu yang berlangsung pada 2021. 

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bekas Naib Presiden MIC itu memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak bagi kerusi Parlimen Padang Serai, selepas Barisan Nasional dan PH bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan.

Keputusan itu dibuat sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan antara BN dan PH di peringkat nasional.

Sivaraj juga dikatakan dikeluarkan dari kumpulan WhatsApp CWC pada Ahad lalu, sehari sebelum beliau menerima surat pemecatan.

Astro AWANI difahamkan pemecatan itu berkait rapat dengan perkembangan terbaharu dalam parti itu termasuk pendirian beliau menjelang pemilihan parti tahun depan.