KUALA LUMPUR:Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan telah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen bagi mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum Jumaat ini.

Ia bagi meminta Yang Di-Pertuan Agong membatalkan Pengisytiharan Darurat dan menitahkan sidang Parlimen sesegera mungkin.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan media pada Khamis.

"Dalam surat tersebut saya telah mencadangkan kepada semua YB ahli Parlimen supaya mengemukakan rayuan dalam kadar segera. Warkah tersebut juga hendaklah disesuaikan menurut pertimbangan semua YB atau parti.

"Semoga warkah ini nanti mendapat ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik Pengisytiharan Darurat dan seterusnya menitahkan agar Sidang Parlimen harus diadakan dalam kadar segera sebelum 31 Januari 2021 untuk membahaskan isu darurat, COVID-19 dan kemelut ekonomi yang melanda negara," katanya.

Dalam warkah terbabit, Awnar antara lain berkata cadangan pengisytiharan darurat dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah tanpa keabsahan dengan penyusutan ahli Parlimen yang menyokong kerajaan.

Jelas Anwar lagi, beliau mencadangkan kepada semua ahli Parlimen supaya mengemukakan rayuan dalam kadar segera.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Perisytiharan Darurat: Bukan rampasan kuasa tentera, tiada perintah berkurung

Warkah itu juga jelasnya hendaklah disesuaikan menurut pertimbangan semua ahli yang berhormat atau parti.

Tambah Anwar, ahli Parlimen tidak mempertikai langkah munasabah yang diambil bagi menangani wabak COVID-19 namun, majoriti Ahli Parlimen telah menggesa agar Belanjawan 2021 harus menumpukan isu kesihatan, kelengkapan termasuk peruntukan terhadap petugas barisan hadapan.

Katanya lagi, pandangan dan peruntukan sedia ada adalah mencukupi untuk mengekang penularan wabak COVID-19 termasuk langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tegas Anwar, darurat tidak diperlukan, kerana kemelut ekonomi amat perlu diberi perhatian manakala jumlah pengangguran, kemiskinan dan kesenjangan bertambah. Justeru pengisytiharan darurat jelasnya akan menyebabkan ekonomi bertambah meruncing.

Beliau turut beranggapan Perdana Menteri dan kerajaan telah terlanjur dan tersasar dalam menyampaikan nasihat kepada Yang di Pertuan Agong kerana darurat tidak terkait dengan permasalahan COVID-19, banjir atau ekonomi.

Dalam warkah itu juga, Anwar mencadangkan agar ahli Parlimen dapat mengemukakan rayuan tesebut dalam kadar segera sebelum Jumaat.