KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman menzahirkan sokongan beliau kepada kepimpinan Perdana Menterim Datuk Seri Anwar Ibrahim mulai hari ini. 

Menurut Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu, keputusan ini dibuat selepas mengambil kira semua permasalah rakyat Labuan yang  berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, serta masalah bekalan air dan elektrik di sana,

"Saya sebagai Ahli Parlimen Labuan dengan ini mengisytiharkan untuk memberi sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar İbrahim, Perdana Menteri Malaysia Ke-10 bermula daripada kenyataan ini dikeluarkan," kata Suhaili. 

Menurut beliau, selama 15 tahun lamanya, tindakan-tindakan yang diambil untuk mengatasi semua permasalahan yang dihadapi oleh rakyat Labuan boleh dikatakan sebagai melepaskan batuk di tangga atau piecemeal basis sahaja,"  menurutnya, dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu, Suhaili turut menyatakan sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri  Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah dalam usaha beliau membantu rakyat Labuan melalui anak syarikat GLC Sabah dalam menyediakan peluang pekerjaan secara kecil-kecilan sejak mula mengemudi pucuk kepimpinan di Sabah.

"Bagi mengelak sebarang keraguan, saya ingin menegaskan bahawa dengan menyatakan sokongan saya kepada kepimpinan Perdana Menteri dan juga kepimpinan Ketua Menteri Sabah, saya akan terus taat, setia dan kekal sebagai Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)."

"Meskipun berdepan dengan risiko sebarang tindakan disiplin daripada parti, saya bersedia menerimanya demi memastikan kebajikan rakyat Labuan dan pengundi-pengundi di kawasan saya terbela dari terus menjadi mangsa keadaan dan ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan kerana perbalahan naratif politik seperti mana yang berlaku sekarang," katanya. 
 
Suhaili turut menyatakan sokongan beliau terhadap dasar-dasar dan inisiatif-inisiatif kerajaan dalam halhal yang mengutamakan usaha-usaha memantapkan pembangunan, ekonomi dan kebajikan rakyat negara ini sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). 

"Pengisytiharan sokongan saya ini kepada kepimpinan PM ke-10 adalah tanpa sebarang paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak dan saya melakukan dengan seikhlas hati demi kepentingan rakyat Labuan," tambahnya.