Ahli Parlimen Lubok Antu serah akujanji sokong Muhyiddin dan PN

Astro Awani
Jun 6, 2020 06:22 MYT
Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat @ Jugah Muyang menyerahkan akujanji menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Muhyiddin. - Gambar FB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat @ Jugah Muyang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya pada Sabtu.
Pada pertemuan tersebut, Tambat @ Jugah menyerahkan akujanji menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Muhyiddin.
Pada Jumaat, beliau mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Dalam kenyataan pada Jumaat, beliau turut menyatakan ikrar sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
"Saya telah berbincang dengan para penyokong saya dan mereka bersetuju agar saya menyokong penuh kerajaan PN demi kebaikan dan pembangunan kawasan Lubok Antu," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, beliau bertanding sebagai calon Bebas dan menang atas mandat rakyat sebelum bersama para penyokongnya menyertai PKR yang menjadi sebahagian kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Selepas pertemuan bersama Tambat @ Jugah, perdana menteri menerima kunjungan Ahli Parlimen Bukit Gantang, YB Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Beliau hadir bagi menyerahkan borang keahlian menyertai parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sebelum ini Syed Abu Hussin Hafiz merupakan Ahli Parlimen bebas.
#ahli Parlimen #Azmin Ali #Bebas #Hamzah Zainuddin #Lubok Antu #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #Perikatan Nasional #PKR #Tambat Jugah Muyang