Ahli Parlimen Pakatan Rakyat botakkan kepala simbolik tuntut Anwar dibebaskan

Irwan Muhammad Zain
Mac 10, 2015 02:52 MYT
Ahli Parlimen Pakatan Rakyat membotakkan kepala simbolik tuntut pembebasan Anwar Ibrahim - Foto AWANI
Seramai 15 orang penyokong Pakatan Rakyat termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua Ahli Parlimen membotakkan kepala sebagai simbolik menuntut pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Protes yang diadakan di hadapan pintu masuk Parlimen turut disertai wakil rakyat gabungan pembangkang.
"Kami buat ini adalah untuk memaklumkan kepada dunia bahawa ketua pembangkang perlu bebas dan juga perlu dibenarkan berada di dalam Parlimen.
"Beliau seharusnya tidak disekat untuk bersama di dalam Parlimen adalah kerana dia masih Ahli Parlimen dan juga Ketua Pembangkang yang sah," kata Ketua Whip PKP, Datuk Johari Abdul ketika ditemui di perkarangan Parlimen semasa protes itu berlangsung.
"Saya akan simpan rambut ini sebagai bukti pengorbanan mereka."
Protes ini juga bertujuan untuk mengumpul sokongan bagi menuntut supaya Anwar dibebaskan dan petisyen tersebut akan diserahkan kepada Yang Di Pertuan Agong (YDPA) Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.
Antara mereka yang turut serta membotakkan kepala adalah Ahli Parlimen Pasir Putih, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong dan Adun Machang Bubuk, Lee Kai Loon.
"Saya botakkan kepala untuk pembebasan Anwar dan juga bersihkan Sabah dari pendatang asing," kata Jimmy sambil menambah beliau merasa bebas selepas membotakkan kepala.
#Anwar Ibrahim #BOTAK #Jimmy Wong #kepala #Lee Kai Loon #Nik Mazlan Nik Mohamad #Parlimen