KOTA KINABALU: Keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun menolak usul bagi membahaskan tuntutan Kumpulan Sulu terhadap Sabah dan aset-aset Petronas perlu dihormati, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Maximus Ongkili.

Sambil menegaskan bahawa terdapat undang-undang di Parlimen, Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata tiada gunanya pembangkang 'lantang bersuara' dalam isu itu hanya untuk meraih perhatian umum kerana Speaker sudah membuat keputusan.

Beliau berkata Speaker telah menegaskan bahawa tiada keperluan untuk membahaskan tindakan undang-undang yang difailkan oleh Kumpulan Sulu di Mahkamah Timbang Tara Paris di Perancis secara terbuka di Parlimen negara ini kerana ia akan menjurus kepada subjudis.

"Sudah tentu kita prihatin dengan kes ini dan kesannya terhadap keselamatan Sabah. Seperti biasa, Speaker membuat keputusan itu dengan berpandukan analisis mendalam mengenai Peraturan Mesyuarat berkaitan dan merujuk kepada nasihat perundangan daripada pakar di Parlimen," menurutnya dalam kenyataan semalam.

Pada Rabu, Azhar berkata perbahasan mengenai tuntutan Kumpulan Sulu ke atas Sabah di Dewan Rakyat mungkin menjejaskan kepentingan Malaysia dalam prosiding litigasi kes itu.

Malah Speaker Dewan Rakyat itu berkata perbahasan itu mungkin mendedahkan strategi kerajaan dalam menangani kes itu sekali gus memberikan kelebihan kepada pihak lain yang terlibat.

Ongkili juga berkata Kerajaan Persekutuan telah menubuhkan pasukan petugas khas yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan panel peguam terkenal termasuk Peguam Negara berhubung perkara itu.

Beliau berkata pasukan itu akan memantau perkembangan tindakan undang-undang yang diambil oleh Kumpulan Sulu di Perancis serta menasihati Kerajaan Persekutuan dari segi strategi berhubung perlindungan aset-aset Malaysia di luar negara.

"Sebagai Ahli Parlimen yang bertanggungjawab, saya percaya adalah penting agar tindakan kita perlu mengikut lunas undang-undang di Parlimen dan keutamaan keselamatan negara," katanya.

-- BERNAMA