Ahli Parlimen Warisan persoal PRK DUN Bugaya belum dilaksana

Hasimi Muhamad
Mac 22, 2022 09:16 MYT
Isnaraissah dalam masa yang sama mempersoalkan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) boleh diadakan sebelum ini, sedangkan ia berskala lebih besar berbanding PRK DUN Bugaya - Foto fail
KUALA LUMPUR: "Mengapa begitu liat dan degil?".
Demikian soal Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya yang sehingga kini belum dilaksanakan lagi.
Menurut wakil rakyat daripada Parti Warisan (Warisan) itu, kelewatan mengadakan pilihan raya menyebabkan hak rakyat di kawasan itu tidak didengar dan diperjuangkan.
"Saya tidak nampak di mana rasionalnya PRK DUN Bugaya tidak diadakan kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kami bukannya letak jawatan, bukannya lompat parti apatah lagi pergolakan kuasa atau gila kuasa. Tetapi tuan Speaker, wakil rakyat kami meninggal dunia.
"Mengapa begitu liat dan degil untuk diadakan pilihan raya? Saya mohon kerajaan jelaskan dengan tuntas dan berikan alasan yang boleh masuk akal.
"Kadang-kadang saya rasa tuan Speaker, kenapa pilihan raya DUN Bugaya ini dilengah-lengahkan, adakah (kerana) DUN Bugaya ini terletak di Sabah? Agaknya kalau DUN Bugaya ini terletak di Pahang, adakah ini akan dilengah-lengahkan juga?," soalnya di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.
Isnaraissah dalam masa yang sama mempersoalkan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) boleh diadakan sebelum ini, sedangkan ia berskala lebih besar berbanding PRK DUN Bugaya.
"Sudah beberapa PRN diadakan... Sarawak memang sudah sampai masanya, tetapi satu itu gaduh sesama mereka (lalu) DUN dibubarkan. Yang satu lagi konon dijaja bagi memastikan kestabilan politik dan kestabilan masa depan.
"Beberapa PRN ini dapat dibuat sewaktu tempoh pandemik dan skalanya jauh lebih besar berbanding jika melakukan PRK DUN Bugaya," katanya lagi.
Sebelum ini, PRK DUN Bugaya tertangguh apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan darurat bagi mengelak pilihan raya diadakan untuk membendung COVID-19.
Pilihan raya perlu diadakan selepas penyandangnya, Datin Manis Muka Mohd Darah daripada Warisan meninggal dunia pada November 2020.
#Yang di-Pertuan Agong #PRK DUN Bugaya #Warisan #Politik Malaysia