KUALA LUMPUR: Ahli politik Sabah seharusnya melihat dan belajar mengenai pengurusan polemik politik negeri jirannya, Sarawak, setiap kali mendepani perbezaan atau kemelut yang melanda.

Menurut Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Dr Firdausi Suffian, senario politik Sabah yang sering berdepan dengan pelbagai isu dan kemelut bukanlah baharu malah kebanyakan ahli politik negeri itu sudah mempunyai pengalaman dalam krisis politik sejak sekian lama.

“Kita boleh belajar daripada jiran kita (Sarawak) di mana GPS (Gabungan Parti Sarawak) yang begitu kukuh berada dalam satu blok.

“Apa jua yang mereka tuntut dengan kerajaan persekutuan dan bagaimana mereka mengurus politik domestik mereka itu kita nampak amat berbeza dengan kerajaan Sabah,” katanya kepada Astro AWANI.

Jelasnya lagi, krisis politik Sabah juga jika dicermati dari sejarahnya, sering kali tercetus sejak era 70an lagi meliputi pelbagai isu.

Justeru, katanya keperluan menentukan politik yang lebih baik harus dilihat dan dipelajari oleh ahli politik Sabah bagi mengembalikan keseimbangan serta kestabilan kerajaan negeri itu.

Selain itu pertukaran kepimpinan negeri yang sering bertukar juga tidak hanya memberi kesan terhadap dinamika politik di negeri itu semata-mata malah kesannya akan secara langsung membabitkan pembangunan Sabah.

“Pertukaran pemimpin akan memberi kesan juga kepada pegawai atau penjawat awam negeri Sabah kerana pendekatan (dasar) setiap menteri itu berbeza.

“Pertukaran dan juga perebutan kuasa ini sebenarnya jelas memang tidak akan memberikan kebaikan kepada rakyat Sabah. Apatah lagi kita di ambang memulihkan ekonomi dengan adanya inflasi dan sebagainya,” katanya lagi.

Bagaimanapun beliau menyifatkan kedudukan Datuk Seri Bung Moktar Radin selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah di blok pembangkang ketika ini memiliki implikasi yang baik dalam konteks semak dan imbang.

“Sekarang ini kita ada Datuk Seri Bung Moktar dan juga Datuk Seri Shafie Apdal yang berada di blok pembangkang.

“Ini adalah suatu yang bagus kerana kita tahu kedua-dua mereka sangat lantang apabila menyentuh soal dasar. Ini akan memberi timbang tara dengan kerajaan yang baharu,” ujarnya.

Menurut Firdausi, sebarang usaha perubahan untuk menukar kerajaan yang ada ketika ini bukanlah masa yang tepat ketika Sabah perlu mendepani pelbagai isu membabitkan ekonomi dan juga pembangunan.

Sebaliknya, beliau berharap agar mana-mana pihak yang mahu merombak tampuk kuasa yang ada agar mampu menunggu sehingga waktu yang sepatutnya sehingga 2025 iaitu pilihan raya yang seterusnya.

Ketika ini, jelas beliau, situasi politik yang berlangsung agak sukar diramal untuk memberikan jaminan bahawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor mampu mengekalkan kuasanya.