Skip to main content

Politik

Ahli politik ‘tergelincir’ lebih banyak merungut berbanding peniaga kecil - Anwar

Anwar Ibrahim, peniaga kecil. Foto/ Astro AWANI
Anwar berkata berdasarkan pertemuannya dengan para peniaga, kebanyakan mereka bersyukur dengan bantuan yang diterima dan tidak terus-menerus merungut - Foto/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan ahli politik yang 'tergelincir' daripada landasan perjuangan sebagai golongan yang paling banyak merungut berbanding peniaga kecil dan usahawan mikro di negara ini.

Beliau berkata peniaga kecil di peringkat akar umbi didapati kurang menyuarakan keluhan berhubung bantuan dan kemudahan pinjaman yang disediakan kerajaan.

"Sebenarnya peniaga kalau peringkat rendah ini, keluhan sangat minimum... yang besar-besar sahaja yang banyak mengekuh. Dan, yang mengeluh paling kuat ialah orang-orang politik yang sudah tergelincir (daripada landasan perjuangan).

"Saya tanya, Alhamdulillah... Mereka tidak mahu berleter dan asyik merengek sepanjang masa... itu hanya orang politik yang tertentu saja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pasar Tani Taman Melawati serta sesi ramah mesra bersama penjaja di kawasan itu, di sini hari ini.

Anwar berkata berdasarkan pertemuannya dengan para peniaga, kebanyakan mereka juga bersyukur dengan bantuan yang diterima dan tidak terus-menerus merungut.

Ditanya mengenai perkembangan politik semasa, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana mahu memberi tumpuan kepada usaha membantu peniaga kecil dan usahawan mikro.

“Tak ada politik hari ini… politik nasi dagang,” katanya secara berseloroh.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kebanyakan peniaga yang ditemuinya berterima kasih kepada agensi kerajaan yang membantu mereka mendapatkan pinjaman untuk meneruskan perniagaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat segelintir peniaga yang belum mengetahui kemudahan bantuan dan pinjaman yang disediakan kerajaan.

Sementara itu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan berasingan memaklumkan pihaknya akan terus memantau pelaksanaan kemudahan pembiayaan mikro bernilai lebih RM5 bilion yang disediakan menerusi pelbagai agensi kerajaan.

Menurut kementerian itu, langkah berkenaan bertujuan memastikan proses permohonan dipermudah, syarat pembiayaan tidak membebankan serta bantuan disalurkan secara adil dan munasabah.

“Dalam keadaan krisis bekalan global yang memberi tekanan kepada kos operasi dan rantaian perniagaan, kemudahan pembiayaan mikro ini penting bagi membantu peniaga kecil, penjaja dan usahawan mikro memperoleh sokongan modal yang diperlukan.

“Besarlah harapan saya agar kemudahan ini dimanfaatkan sebaiknya bagi mengangkat taraf hidup rakyat dan mengimarahkan ekonomi setempat,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan itu.

Secara keseluruhan, Kerajaan MADANI menyediakan lebih RM15 bilion sokongan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tahun ini.

Must Watch Video

Advertisement