Ahmad Fadhli dilantik Ketua Pemuda PN baharu, Dr Yadzil Pengerusi PN Melaka

Bernama
Januari 27, 2022 11:15 MYT
Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Pemuda Pas Pusat Ahmad Fadhli Shaari dilantik sebagai Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang baharu berkuat kuasa serta-merta. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Pemuda Pas Pusat Ahmad Fadhli Shaari dilantik sebagai Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat semalam juga sebulat suara melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban Dr Mohd Yadzil Yaakub sebagai Pengerusi PN Melaka, juga berkuat kuasa serta-merta.
"Mesyuarat tersebut telah berbincang secara mendalam mengenai situasi politik semasa khususnya berhubung kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hamzah berkata mesyuarat itu dihadiri wakil daripada semua parti anggota iaitu Bersatu, Pas, STAR, SAPP dan Gerakan.
Ahmad Fadhli menggantikan Khairil Nizam Khiruddin, manakala Dr Mohd Yadzil yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka, menggantikan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang meletak jawatan pada 25 Nov lepas.
-- BERNAMA
#Ahmad Fadhli Shaari #Ketua Pemuda PN baharu #Perikatan Nasional #Ahli Parlimen Pasir Mas #Hamzah Zainudin #mohd yadzil yaakub #Ketua Pemuda Pas Pusat