Ahmad Faizal kekal Ketua Bersatu Bahagian Tambun, menang tanpa bertanding

Abd Razak Mohd Ali
Januari 26, 2020 23:30 MYT
Ahmad Faizal menang tanpa bertanding jawatan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tambun. -Gambar fail
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menang tanpa bertanding jawatan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tambun apabila pencalonan ditutup pada Ahad.
Turut menang tanpa bertanding ialah Setiausaha Politik beliau, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid bagi Ketua Bersatu Bahagian Kuala Kangsar.
Selain kedua-dua mereka, empat lagi ketua bahagian turut menang tanpa bertanding.
Mereka ialah Kader Maiden Hussain (Taiping), Mahader Ahmad Ahmad Ayub (Batu Gajah), Kapten Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Abdul Malik Karim (Bagan Datuk).
Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, pihaknya menerima 1,305 borang pencalonan apabila proses penamaan calon di semua 24 Bahagian ditutup jam 2 petang.
Bersatu Perak mempunyai 277 cawangan daripada 24 bahagian yang melibatkan keahlian kira-kira 28,548 orang.
“Proses pemilihan Bersatu yang sedang berlangsung kali ini pastinya menjadi medan untuk pendokong parti menyediakan saf kepimpinan mantap untuk mendepani cabaran politik semasa dan masa hadapan,” katanya.
#Ahmad Faizal Azumu #berita politik #Bersatu #menang tanpa bertanding #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #Perak #Tambun