Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
POLITIK

Ahmad Zahid hormati, sedia terima keputusan MIC dengan hati terbuka

Bernama 19/11/2025 | 05:30 MYT
Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, berkata beliau tidak berhasrat untuk mencampuri urusan dalaman MIC.
KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghormati dan menerima dengan hati terbuka apa jua keputusan yang diputuskan oleh MIC sekiranya parti itu berhasrat untuk keluar daripada gabungan tersebut.


Ringkasan AI
  • Ahmad Zahid Hamidi menghormati keputusan MIC untuk keluar daripada Barisan Nasional, tanpa campur tangan dalam hal dalaman parti tersebut.
  • Para perwakilan MIC sebulat suara menyokong usul untuk menamatkan penyertaan dalam BN dan menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk langkah seterusnya.
  • Presiden MIC menegaskan sokongan kepada Anwar Ibrahim sehingga akhir mandatnya, tanpa mengira keputusan politik yang akan diambil.


Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, berkata beliau tidak berhasrat untuk mencampuri urusan dalaman MIC.

"Saya mengikuti dengan dekat apa yang telah diperbahaskan dalam Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MIC... saya menghormati apa juga keputusan yang dibuat oleh para perwakilan dan kepimpinan MIC, dan saya tidak berhajat untuk mencampuri hal ehwal dalaman mereka.

"Apa juga keputusan yang dibuat oleh mereka, kita dengan berlapang dada dan hati terbuka menerimanya," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China 2025 di Wisma MCA di sini hari ini.

Turut hadir Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Pada Ahad lepas, AGM MIC ke-79 yang berlangsung di Shah Alam, para perwakilan sebulat suara menyokong usul menamatkan penyertaan dalam BN dan menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan masa yang sesuai bagi berbuat demikian serta membentuk jajaran baharu.

Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran pada hari sama berkata Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu akan meneliti usul perwakilan bagi menentukan langkah seterusnya.

Vigneswan juga berkata MIC kekal memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mandat beliau berakhir, tanpa mengira apa jua keputusan politik yang bakal diputuskan.

Semalam, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama kepimpinan tertinggi MIC selepas selesai Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 hujung bulan ini, yang diharap dapat menjernihkan sebarang kekeliruan atau salah faham berkaitan kedudukan parti itu dalam gabungan tersebut.

-- BERNAMA


#Ahmad Zahid Hamidi #MIC #MIC keluar BN #UMNO