Ahmad Zahid perlu letak jawatan - Idris Jusoh

Sinar Harian
Ogos 13, 2023 05:44 MYT
Menerusi satu hantaran ringkas di laman sosial Facebooknya pada Ahad, Idris menggesa Ahmad Zahid meletak jawatan tertinggi yang disandangnya di dalam parti itu. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Bekas Pengerusi UMNO Terengganu, Tan Sri Idris Jusoh mahu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertanggungjawab atas kekalahan besar dialami Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada Sabtu.
Menerusi satu hantaran ringkas di laman sosial Facebooknya pada Ahad, Idris turut menggesa Ahmad Zahid meletak jawatan tertinggi yang disandangnya di dalam parti itu.
"UMNO kalah teruk di PRN semalam. UMNO kalah 100 peratus di Terengganu. Zahid Hamidi perlu letak jawatan," tulisnya.
Keputusan PRN di enam negeri menyaksikan BN merekodkan kekalahan terburuk dalam sejarah apabila parti itu hanya memenangi 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 kerusi yang ditandingi.
PRN: Untuk keputusan penuh, siapa menang dan siapa kecundang klik di SINI
Di Selangor, BN hanya memenangi empat kerusi, Negeri Sembilan (13), masing-masing satu kerusi di Pulau Pinang dan Kelantan manakala tiada kerusi dimenangi di Kedah dan Terengganu.
Lebih mengejutkan apabila kerusi yang disandang dua bekas menteri besar Terengganu iaitu di DUN Kijal dan Seberang Takir serta beberapa kubu kuat BN di Hulu Besut, Jertih, Kuala Besut, Telemung, Batu Rakit, Bukit Besi, Air Putih dan Langkap turut tumbang dalam PRN itu.
Kesemua 10 kerusi tersebut termasuk dalam kerusi-kerusi yang dimenangi BN di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#PRN Terengganu #Zahid Hamidi #kekalahan BN #letak jawatan #Presiden UMNO