PONTIAN: Akta Anti Lompat Parti perlu diperhalusi dan ditambah baik kerana terdapat kejanggalan dalam akta tersebut selepas empat Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata tindakan empat Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menguji Akta Anti Lompat Parti yang baharu dilaksanakan.

Timbalan Menteri Kewangan I itu menjelaskan perkara-perkara berkaitan kejanggalan itu perlu dilihat semula melalui pindaaan-pindaan yang tertentu.

"Amat janggal jika (ahli Parlimen) pembangkang menyatakan sokongan kepada kerajaan namun ia tidak membawa kesan kepada kedudukan kerusi mereka.

"Selain itu, amat janggal jika seseorang ahli Parlimen pembangkang yang berlawanan dengan parti mereka tetapi dalam masa sama masih berada dalam kelompok pembangkang.

"Oleh itu kejanggalan berkenaan perlu dilihat semula melalui pindaan tertentu. Akta Anti Lompat Parti perlu diperhalusi semula kerana sebelum ini kita tidak pernah berhadapan situasi sebegini, ia perkara baharu, maka saya harap akta ini akan diperbaiki atau dipinda," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian pada Majlis Angkat Sumpah Veteran UMNO di Pejabat Veteran UMNO Pontian di sini pada Ahad.

Turut hadir, Pengerusi Veteran UMNO Johor, Datuk Othman Jais dan Pengerusi Veteran UMNO Pontian, Abd Rahman Jamat.

Pada Jumaat, Bersatu mencadangkan Akta Lompat Parti diteliti semula kerana wujud kelemahan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu dibuat susulan tindakan ahli Parlimen parti itu yang menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan yang belum diputuskan mahkamah.

Ditanya mengenai masa yang sesuai untuk meminda Akta Anti Lompat Parti, Ahmad menjelaskan pindaan boleh dilakukan pada bila-bila masa.

"Pada bila-bila masa ia boleh dipinda, semua akta boleh dipinda dalam Perlembagaan pun boleh dipinda apatah lagi sekadar akta.

"Akta Anti Lompat Parti ini pertama kali digunakan apabila empat Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

"Oleh itu, dari masa ke semasa tidak ada salahnya jika akta itu perlu terus diperbaiki oleh Jabatan Perdana Menteri yang menjadi urus setianya untuk menilai keperluan agar dapat diperbaiki melalui pindaan-pindaan," katanya.

Pada 12 Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak.

Tindakan itu diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman sebelum menyaksikan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim turut berbuat demikian pada Selasa.

Seterusnya Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar pada Rabu.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian