KOTA KINABALU: UMNO Sabah akur kepada keputusan tertinggi parti sekiranya terpaksa bertembung dengan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO Sabah juga akur dengan keputusan parti supaya calon UMNO mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum lalu.

"Di Sabah kita ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi bagaimanapun apabila parti membuat keputusan untuk kita bertanding maka UMNO (Sabah) tiada pilihan.

"UMNO kena mempertahankan kerusi-kerusi yang ditandingi dan seterusnya akan memperkasakan parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

BACA: PRU15: Bersatu sedia bertembung jika UMNO tidak ubah pendirian - Muhyiddin

Semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu sedia untuk bertembung dengan UMNO pada PRU15.

Muhyiddin berkata, tiada cara lain untuk mengelak pertembungan itu memandangkan UMNO membuat keputusan untuk tidak mahu bersama-sama parti itu sebagai gabungan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

Selain itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, UMNO Sabah bersedia untuk berhadapan dengan mana-mana parti termasuk Bersatu.

Beliau turut meminta agar jentera parti disemua peringkat untuk sentiasa bersedia menghadapi PRU akan datang.

“Kita telah mengharungi pelbagai dugaan yang besar, kita pernah menang, pernah kalah dan menang.

"Jadi ini bukan satu rintangan yang besar untuk kita semua bertentangan dengan mana-mana parti dalam PRU akan datang,” katanya.