BATU KAWAN: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan bekerja lebih keras dan “all out” bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Ia susulan perubahan  angin politik yang dapat disaksikan sejurus selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang  menjadi antara indikator penting yang menentukan keputusan PRN yang bakal berlangsung nanti.

Menurut Pengerusinya, Chow Kon Yeow,   keputusan PRU15 di peringkat Parlimen baru -baru ini  memberi  gambaran sebenar pilihan para pengundi di sesuatu kawasan.

Malah  katanya, trend yang ditunjukkan itu juga memungkinkan PH bakal kehilangan beberapa kerusi  Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN nanti susulan  gelombang kebangkitan penyokong Perikatan Nasional (PN)  yang ditunjukkan.

"Pandangan saya adalah berdasarkan kepada keputusan di peringkat Parlimen mengikut saluran pengundian  yang boleh memberi satu gambaran sebenar para pengundi di kawasan masing-masing terhadap pilihan yang  mereka buat.

"Ini satu indicator memandangkan pilihan raya  tidak diadakan secara serentak. Walaupun diadakan serentak, pengundi kadangkala  akan menggunakan  kebijaksanaan  memilih di peringkat Parlimen  dan  peringkat DUN mungkin tak sama,  atau pun mungkin sama, itu  terpulang kepada beberapa  faktor mungkin  parti yang bertanding, calon yang bertanding  dan dasar-dasar yang  ingin di perjuangkan , semua akan mempengaruhi   pilihan pengundi," katanya.

Chow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, strategi  dan gerak kerja perlu dirangka dan disusun dengan lebih baik agar PRN akan datang membawa keputusan lebih baik.

"Menjelang Januari kita perlu  all out  dari segi mengaturkan strategi menggubal program, buat lawatan mendekati masyarakat  di samping berjumpa dengan  agensi mencari penyelesaian isu-isu yang kita  kumpul semasa kempen PRU," katanya lagi.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Khatan Perdana Kadun Jawi di Dewan Serbaguna Jawi, di Nibong Tebal yang turut dihadiri Ahli Parlimen Nibong Tebal yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Pada PRU15  Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang hilang dua kubu kuat mereka iaitu Kepala Batas dan Tasek Gelugor apabila berjaya dirampas PN.

Lebih mengejutkan apabila  Permatang Pauh yang menjadi kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak tahun 1982 turut jatuh ke tangan calon PN iaitu Fawwaz Md yang berjaya mengalahkan  Nurul Izzah Anwar dengan majoriti  5,272 undi.