KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub mengajak semua Ahli Parlimen yang pernah bersama Pakatan Harapan (PH) agar kembali kepada gabungan tersebut.

"Pintu kasih sayang terbuka luas untuk kawan-kawan seperjuangan kembali semula bersama Pakatan Harapan. Mari kita bina semua rakyat dan negara. Rakyat menunggu jasa bakti kita," katanya menerusi akaun Twitternya, hari ini.

Salahuddin berkata demikian susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada Isnin yang menandakan berakhirnya pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

PN ditubuhkan selepas beberapa Ahli Parlimen daripada PH meninggalkan gabungan itu pada Februari tahun lalu dan bergabung dengan beberapa parti lain seperti Pas dan GPS selain bekerjasama dengan UMNO.

Namun kerajaan yang dibentuk itu cuma bertahan selama 17 bulan selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan mereka menyebabkan Muhyiddin kehilangan majoriti.

Biarpun PN sudah tidak lagi menjadi kerajaan, ia belum dapat memberi jaminan PH akan kembali berkuasa kerana gabungan itu kini hanya mempunyai 88 kerusi Parlimen.

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan (Warisan), United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO), Parti Sarawak Bersatu dan seorang lagi Ahli Parlimen Bebas, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bukan sebahagian daripada PH.