Amanah akan bawa usul tambah kerusi Parlimen

Irwan Muhammad Zain, Hasimi Muhamad
Disember 8, 2019 05:08 MYT
Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli menjelaskan Amanah akan mengusulkan perkara berkenaan kepada Dewan Rakyat. - Foto Astro AWANI/Irwan Muhammad Zain
Parti Amanah Negara (Amanah) berpendapat jumlah kerusi parlimen perlu ditambah daripada 222 kepada sekurang-kurangnya 260 kerusi.
Pengarah Pilihan Raya Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli menjelaskan Amanah akan mengusulkan perkara berkenaan kepada Dewan Rakyat.
Dr Mohd Hatta berkata penambahan bilangan kerusi itu penting bagi menyelesaikan isu perbezaan ketara jumlah pengundi bagi kerusi Parlimen.
“Ada Parlimen yang ada bilangan sampai 100,000 pengundi, tetapi ada Parlimen yang hanya mempunyai bilangan 30,000 pengundi.
“Ia tidak adil kepada pengundi dan juga Ahli Parlimen itu sendiri.
“Kita bukan mahu lakukan persempadanan semula, tetapi kita mahu bilangan kerusi Parlimen ditambah.
“Kerusi Parlimen perlu ditambah kepada 250 kerusi atau sekurang-kurangnya 260 kerusi,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, pada Ahad.
Dalam ucapannya itu, Dr Mohd Hatta turut menegur sikap perwakilan parti itu yang gusar dengan keputusan menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
“Kenapa kita perlu takut apabila had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun? Kita sudah mengkaji perkara ini dan banyak negara sudah melakukannya.
“Semua parti akan berusaha memenangi hati pengundi baharu ini. Jadi kenapa Amanah perlu takut?” katanya.
Konvensyen Nasional Amanah 2019 merupakan konvensyen keempat dianjurkan oleh parti itu sejak ia ditubuhkan pada 2015.
#ahli Parlimen #Amanah #Dewan Rakyat #Dr Mohd Hatta Md Ramli #kerusi Parlimen #Konvensyen AMANAH 2019 #Konvensyen Nasional Amanah 2019 #Parti Amanah Negara