KLANG: Parti Amanah Negara (Amanah) terbuka menerima Pas dalam Kerajaan Perpaduan demi kepentingan rakyat, kata Naib Presiden Amanah, Adly Zahari.

Menurutnya, meskipun Pas merupakan parti lawan, Amanah tidak lagi menganggapnya sebagai seteru.

"Apabila kita memikirkan rakyat, kita tahu kadang-kadang lawan itu menjadi kawan kita, kerana prinsip menjaga kepentingan rakyat mengatasi kepentingan parti politik dan individu.

"Sebab itu kalau kita lihat di Malaysia ini, semua yang pernah berlawan pernah menjadi kawan...itu bukan sesuatu yang asing bagi kita.

"Sebab itu daripada awal lagi kita sebenarnya bersedia untuk bekerjasama dengan semua parti-parti politik dalam Kerajaan Perpaduan.

"Amanah tak ada masalah kalau Pas menyertai Kerajaan Perpaduan. Kalau Pas mahu tandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Kerajaan Perpaduan, kita alu-alukan supaya politik lebih stabil," katanya dalam sidang akhbar selepas Perasmian Konvensyen Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Awan), di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Amanah masih menganggap Pas sebagai seteru politik.
Mengulas lanjut, Adly berkata, pada masa ini agenda perpaduan merupakan perkara yang perlu diberi keutamaan.

"Cuma macam kita sebut isu-isu yang melibatkan 3R itu jangan dimanipulisi untuk kepentingan politik kerana bagi kita masa depan Malaysia akan terjejas," katanya.

Pada masa sama, beliau juga menegaskan Amanah akan terus memainkan peranan dalam memberikan kesedaran Islam kepada masyarakat meskipun melalui pendekatan yang sederhana.

Katanya, setiap parti Melayu Islam mempunyai posisi masyarakat tersendiri dalam memainkan peranan masing-masing.

"Amanah berikan tumpuan kesedaran dengan model Islam yang bagi kita, kita ambil jalan sederhana kerana kita tahu kemajmukan ini penting.

"Sebab kalau kita ambil jalan terlalu kiri, di mana kita meletakkan hanya satu kaum yang boleh memimpin negara, ia akan beri kesan besar kepada masa depan sama ada kepada orang Melayu atau masyarakat Islam itu sendiri," katanya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian