Parti Amanah Rakyat (Amanah) tiada bantahan sekiranya PAS ingin menyertai Pakatan Harapan dan dipersetujui oleh gabungan pembangkang itu, kata Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Tahir.

Mohd Anuar berkata Amanah membuat keputusan berdasarkan konsep konsensus yang menjadi pegangan Pakatan Harapan.

"Kalau suami isteri pun nak buat apa-apa, kedua-dua orang pun kena ada kesepakatan. Kalau seorang nak ke utara seorang nak ke selatan, tak balik raya lah. Jadi apatah lagi dalam parti politik yang bergabung di bawah Pakatan Harapan ini.

"Kita sudah tentu boleh menerima mana-mana parti politik atau mana-mana organisasi yang ingin bersama dengan kita selagi ianya mendapat persetujuan bersama.

"Kita alu-alukan siapa pun. PAS, PSM, banyak lagi parti lain yang tersenarai. Dan kalau sekiranya ada persefakatan, kita akan alu-alukan," katanya semasa satu sidang media di sini, hari ini.

Sidang media itu diadakan sempena 40 hari parti itu ditubuhkan dan mengumumkan perkembangan terbaru parti itu selepas ia ditubuhkan.

Mohd Anuar berkata parti itu mensasarkan untuk mendapatkan 100,000 ahli menjelang 2016.

"Setakat hari ini, Amanah juga sedang memproses lebih 50,000 permohonan keahlian.

"Bagi kami, ia satu jumlah yang sangat membanggakan sekaligus menunjukkan sambutan dan minat yang amat tinggi di kalangan masyarakat di luar sana terhadap parti Amanah," katanya.

Beliau menambah Amanah telah melantik beberapa pemimpin untuk memegang jawatan utama dalam parti itu.

"Khalid Abdul Samad telah dilantik sebagai Pengarah Komunikasi, Dr Dzulkefly Ahmad telah dilantik sebagai Pengarah Strategi dan Dr Mohd Hatta Ramli telah dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya.

"Selain itu, kita juga telah bersetuju melantik artis Wan Aishah Wan Ariffin ke Jawatankuasa Amanah Nasional, untuk mewakili golongan seniman," katanya.

Mohd Anuar turut berkata antara aktiviti parti itu adalah mengisytiharkan setiap hari Jumaat sebagai Tanwir (Hari Pencerahan) yang akan digunakan untuk aktiviti keilmuan dan mendalami Islam.