Amiruddin kemuka surat Usul Tidak Percaya terhadap PM

Astro Awani
Oktober 16, 2020 02:12 MYT
Amiruddin Hamzah memaklumkan beliau telah menghantar surat berkenaan Usul Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dibentangkan di Dewan Rakyat. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah memaklumkan beliau telah menghantar surat berkenaan Usul Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.
Menurutnya, surat berkenaan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada 15 Oktober lepas.

Saya telah menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat berkenaan Usul Tidak Percaya terhadap YAB Perdana Menteri bertarikh 15 Oktober 2020 untuk sesi sidang parlimen yang akan datang. pic.twitter.com/5gVBhVwt5D

— Amiruddin Hamzah (@YbTokmet) October 16, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Bahkan, beliau turut melabelkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin sekarang "bagaikan telur di hujung tanduk".
“Usaha ini adalah demi menjunjung prinsip mengembalikan mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan solidariti atas sebuah kerajaan yang tidak kompeten dan stabil.
“Bagaikan telur di hujung tanduk,” tulis beliau dalam laman Twitter beliau pada Jumaat.
Amiruddin bukanlah Ahli Parlimen pertama menghantar usul berkenaan. Sebelum ini, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah melakukan perkara sama.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga menggesa agar Usul Tidak Percaya yang dibawa oleh Dr Mahathir dikemukakan di Dewan Rakyat.
Perkara itu didedahkan oleh Tengku Razaleigh menerusi sepucuk surat yang dihantar beliau kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 25 September lalu.
Tengku Razaleigh berkata pencadang usul tersebut iaitu, Ahli Parlimen Langkawi mendakwa Perdana Menteri tidak membenarkan usul itu dibahaskan sebanyak dua kali dengan cara menyenaraikannya di penghujung senarai perbahasan.
BACA: Tengku Razaleigh gesa Dewan Rakyat bahas Usul Tidak Percaya
Katanya, dengan cara itu perbahasan terhadap usul tersebut terhalang di samping pengundian terhadapnya tidak dapat dilaksanakan oleh Dewan Rakyat.
Kenyataan-kenyataan ini muncul tidak lama selepas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 Oktober lepas.
#undi tidak percaya #Dewan Rakyat #Muhyiddin Yassin #Mahathir Mohamad #Tengku Razaleigh Hamzah #Amiruddin Hamzah #Yang di-Pertuan Agong #tukar kerajaan #cukup sokongan