Anak Bung Moktar tidak berniat tanding PRK DUN Lamag

Mohd Naim, yang disebut-sebut sebagai antara calon yang akan mengisi kekosongan kerusi itu berkata DUN Lamag seharusnya dikembalikan kepada anak jati kawasan itu untuk meneruskan perjuangan. - Gambar fail/Sinar Harian
KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan Mohd Naim Kurniawan Moktar tidak berniat untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag bagi mengisi kekosongan kerusi itu susulan pemergian bapanya Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Mohd Naim, yang disebut-sebut sebagai antara calon yang akan mengisi kekosongan kerusi itu berkata DUN Lamag seharusnya dikembalikan kepada anak jati kawasan itu untuk meneruskan perjuangan.
Beliau yang diamanahkan untuk membantu mempertahankan kemenangan Barisan Nasional (BN) di DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 mengakui terdapat sentimen besar daripada pelbagai pihak agar beliau menggantikan Allahyarham bapanya.
"Saya hargai sokongan yang mahu saya sendiri bertanding, namun pemilihan calon adalah keputusan parti dan bukanlah keputusan peribadi semata-mata. Selaku ahli yang setia, saya menghormati sepenuhnya apa sahaja keputusan itu.
"DUN Lamag bukan sekadar kawasan baharu. Ia adalah tanah perjuangan yang dibina dengan keringat dan maruah rakyatnya. Sejak diwujudkan pada 2020, suara Lamag mesti terus berkumandang dengan penuh harga diri," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
NAIM-LAMAG 2 (AKHIR) KOTA KINABALU
Mohd Naim turut menyuarakan beberapa cadangan serta kriteria calon untuk dipilih bagi bertanding PRK DUN Lamag iaitu mestilah anak jati Lamag, berumur 50 tahun ke bawah, mempunyai pendidikan serta memiliki kesetiaan kepada perjuangan parti.
"Saya membuka ruang seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja yang memenuhi kriteria ini untuk kita sama-sama melangkah ke medan juang," katanya.
Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Sabah pada 1.46 pagi, kurang seminggu selepas dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag untuk penggal kedua.
Pada PRN Sabah ke-17, 29 Nov lepas, Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Di peringkat politik nasional, Allahyarham dipilih sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-10 pada November 1999 dan terus berkhidmat selama enam penggal berturut-turut.
Pada Selasa lepas, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 16 Dis ini.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

