KUALA LUMPUR: Analisis dalaman melibatkan 66 kerusi Parlimen oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) disifatkan sebagai langkah memperkukuh parti itu dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukannya usaha melemahkan rakan dalam Pakatan Harapan (PH).
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mujahid Yusof Rawa berkata, kajian tersebut lebih menjurus kepada usaha memperkemas gerak kerja serta memperkukuh kedudukan PKR bagi memastikan PH kekal relevan dan kuat menghadapi pilihan raya akan datang.
Menurutnya, kajian itu tidak harus disalah tafsir kerana fokus utamanya ialah memberi gambaran realistik mengenai kedudukan PH di kerusi Parlimen yang ditandingi dan dimenangi sebelum ini.
“Kajian ini adalah lebih kepada mengemas kini jentera supaya lebih berhati-hati supaya menumpukan gerak kerja pilihan raya nanti.
“Saya tak buat rumusan seperti mana media membuat pelbagai rumusan dan rumusan itu nampaknya jauh dari tujuan kajian dibuat kerana hakikatnya ia adalah untuk memastikan kawasan itu diperbaiki mutu gerak kerja agar menjadi lebih baik, bukan sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan dokumen bertajuk Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier yang dibentangkan dalam perjumpaan kira-kira 900 pimpinan PKR pada 2 Mei lalu mendedahkan parti itu kini berada dalam mod berjaga-jaga susulan sokongan di beberapa kerusi utama dilihat semakin terhakis.
Menurut laporan itu, daripada 66 kerusi yang dianalisis, hanya tujuh dikategorikan sebagai Tier 1 atau selamat, manakala 13 kerusi diletakkan dalam Tier 2A, 17 kerusi dalam Tier 2B (marginal) dan 29 lagi dalam Tier 3 yang dianggap sukar atau memerlukan pemulihan sokongan.
Antara kerusi Parlimen yang diklasifikasikan dalam kategori marginal Tier 2B ialah Sungai Petani, Tanjung Malim dan Tambun, manakala Gombak serta Sungai Buloh diletakkan dalam Tier 3 yang memerlukan intervensi luar biasa atau bantuan khas daripada kepimpinan pusat.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebelum ini turut menjelaskan, dokumen itu menekankan keperluan merapatkan saf, memperkukuh jentera serta memfokuskan gerak kerja bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Beliau menegaskan, dokumen itu menekankan keperluan merapatkan saf, memperkukuh jentera serta memfokuskan gerak kerja bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Pada masa sama, Nurul Izzah turut mengecam tindakan pihak yang membocorkan dokumen berkenaan, yang menurutnya lebih berminat menjadi “sumber khianat demi berita sensasi” berbanding menjaga adab organisasi.