POLITIK

Analisis: Sayap Wanita dalam politik masih relevan tapi ada syarat

Bernama 08/08/2025 | 01:20 MYT
Forum Awam bertajuk 'Sayap Wanita Dalam Parti Politik: Masihkah Relevan?' dianjurkan pada 28 Julai lalu di sebuah hotel di Kuala Lumpur, menghimpunkan panelis daripada antara lima parti politik utama. - Facebook Wanita Berdaya Selangor
KUALA LUMPUR: Di sebuah forum yang bertanyakan "Sayap Wanita dalam Parti Politik: Adakah Mereka Masih Relevan?", jawapan yang diberi lebih kurang "ya".

Berlangsung di sini, ahli panel yang merangkumi wakil-wakil daripada sayap wanita parti kerajaan dan pembangkang, bersetuju pergerakan wanita dalam parti-parti politik masih diperlukan bagi mencapai sasaran 30 peratus penyertaan kaum Hawa di peringkat kepimpinan politik dan pembuat keputusan.

Forum itu dikendalikan oleh Dr Zaireeni Azmi, pensyarah dalam bidang kajian jantina di Universiti Sains Malaysia (USM).

Walaupun merupakan penandatangan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (Cedaw) dan secara rasmi menerima guna sasaran 30 peratus itu dalam Rancangan Malaysia ke-9 pada 2004, Malaysia masih gagal mencapai matlamat tersebut.

Hampir dua dekad berlalu, jumlah wanita yang memegang kuasa kekal rendah - sekitar 13.5 peratus daripada keseluruhan ahli Parlimen dan 12.2 peratus daripada ahli Dewan Undangan Negeri - menurun berbanding penggal parlimen terdahulu. Penurunan itu menimbulkan pertanyaan bukan sahaja tentang keazaman politik tetapi juga struktur yang sepatutnya mengangkat penyertaan wanita di sfera awam.



RUANG SELAMAT ATAU SILO?



Pada asalnya pergerakan wanita diwujudkan bagi memberi sokongan kepada parti politik di peringkat akar umbi - untuk meraih undi dan menyantuni komuniti, terutama pengundi wanita. Bagaimanapun, selepas hampir 80 tahun sayap wanita pertama diwujudkan oleh sebuah parti politik utama (Wanita UMNO pada 1949), tidak banyak yang berubah dari segi tanggapan peranan wanita dalam parti.

Sebahagian besar sokongan daripada ahli panel dan hadirin di forum itu berhubung kerelevanan sayap wanita adalah berpaksikan peranannya sebagai ruang selamat untuk memupuk kepimpinan serta menyediakan platform buat wanita dalam parti yang didominasi lelaki. Namun, pengkritik berpendapat sayap-sayap ini juga telah menjadi 'silo' yang terlalu selesa, dan secara tidak sengaja mengukuhkan lagi marginalisasi yang sepatutnya dihapuskan.

"Konsep sayap wanita itu sendiri tidak banyak berubah. Idea bahawa wanita perlu digerakkan secara berasingan sebagai satu kumpulan tidak berlandaskan matlamat untuk melatih mereka agar akhirnya dapat menyertai arus perdana," kata Prof Datuk Noraida Endut daripada Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), USM.

Pakar berpendapat cara kebanyakan sayap wanita itu wujud dalam parti politik mencipta medan persaingan sesama sendiri dengan hanya ahli senior dan "pemenang" dianggap "layak" untuk menyertai barisan kepimpinan yang didominasi lelaki. Sebaliknya, ahli lelaki muda mempunyai akses terus kepada pimpinan parti, membolehkan mereka dipilih dan dibimbing untuk peranan kepimpinan masa depan.

Bekas penganalisis dasar di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Lee Min Hui berpendapat struktur parti boleh menjadi penghalang kepada kemajuan wanita.

"Sayap wanita tidak semestinya berperanan mencabar atau melemahkan dinamik jantina yang wujud dalam parti politik, tetapi ia boleh menjadi satu mekanisme yang mengekang kuasa wanita," katanya.

Tambah beliau, struktur sedia memaksa wanita yang berwawasan untuk bersaing sesama sendiri dalam pergerakan itu demi mendapatkan sedikit ruang menonjolkan diri, sedangkan rakan sebaya di sayap lelaki dapat terus mara melalui saluran arus perdana.

Keadaan ini seterusnya mewujudkan kekurangan bakat politik wanita yang matang. Di forum itu, beberapa ahli panel meluahkan kebimbangan tentang kesukaran mencari bakat muda dalam kalangan wanita. Namun para pakar tidak bersetuju. Mereka sebaliknya menegaskan norma jantina dan sikap patriarki sebagai punca sebenar.



HALANGAN



Di forum itu, Setiausaha Agung MUDA Nurainie Haziqah yang juga seorang daripada ahli panel, berkata satu daripada cabaran yang dihadapinya ialah mentaliti partriarki dalam kalangan pengundi dan segelintir ahli dalam partinya sendiri yang tidak mempunyai sayap wanita. Pada pilihan raya umum sebelum ini, 50 peratus daripada calon yang diketengahkan oleh MUDA ialah wanita.

"Apabila kami kalah di semua kerusi yang ditandingi, mereka kata ia disebabkan 50 peratus calon kami wanita. Namun, tidak ada seorang pun yang bertanya kenapa kami meletakkan 50 peratus calon lelaki," katanya.


Pengalaman beliau itu menyerlahkan apa yang dikenal pasti oleh kebanyakan pakar sebagai punca utama rendahnya penyertaan wanita dalam politik Malaysia, iaitu norma jantina. Justeru, perubahan cara pemikiran amat penting.

Min Hui berkata dasar untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam proses membuat keputusan perlu dicerminkan di semua peringkat masyarakat, bukan hanya dalam sektor awam dan swasta, agar masyarakat terbiasa, malah menjangkakan kehadiran kaum Hawa di kedudukan yang berkuasa.

"Langkah seterusnya ialah kepekaan terhadap gender dan untuk menjadi peka gender, semua parti politik perlu mengubah cara mereka beroperasi - masyarakat juga perlu berubah - di mana barisan kepimpinan parti mestilah lebih pelbagai. Ia tidak boleh terus dilihat sebagai landskap politik milik lelaki semata-mata," katanya.

Satu cara untuk membetulkan ketidakseimbangan gender ialah dengan menetapkan had maksimum bagi perwakilan lelaki dalam politik, bukan sekadar memperuntukkan kuota atau kerusi khas untuk ahli politik wanita. Namun, beliau meragui pendekatan itu akan diterima memandangkan lelaki yang mendominasi arena politik Malaysia, berkemungkinan besar menolak dasar yang boleh menjejaskan kedudukan mereka sendiri.

Satu lagi kekangan ialah kecenderungan ahli politik berpaut pada jawatan dan pengaruh mereka untuk satu tempoh yang lama. Pakar sains politik terkenal Prof Wong Chin-Huat berkata jumlah ahli politik lelaki yang berundur daripada politik tidak cukup untuk membantu meningkatkan bilangan perwakilan wanita, sebahagiannya berpunca daripada sistem pilihan raya "First Past The Post (FPTP)" yang diamalkan.

"Penyandang lelaki bersara dengan dua cara: (a) bersara secara sukarela atau digugurkan oleh parti, sekali gus membuka kekosongan; (b) tewas kepada pencabar wanita daripada parti lawan," katanya menerusi WhatsApp.

Menurut beliau, parti-parti politik lebih cenderung meletakkan calon wanita untuk menentang penyandang lelaki daripada parti lawan, berbanding menggantikan penyandang lelaki dalam parti sendiri.

Beliau turut menyatakan bahawa jumlah perwakilan wanita sering meningkat ketika berlaku 'gelombang' pilihan raya, iaitu apabila banyak kerusi bertukar tangan. Namun, selepas parti berjaya mengukuhkan kedudukan mereka di kawasan tersebut, pencalonan wanita mula mendatar seperti yang berlaku di Pulau Pinang.

"Usaha menambah jumlah calon wanita akan menjadi lebih mudah sekiranya anda meletakkan calon wanita paling berpengaruh menggantikan penyandang lelaki paling lemah. Jika itu berlaku, penyandang lelaki yang kuat tidak akan terasa 'kehilangan' rakan sejantina mereka yang lemah," katanya lagi.

Namun, disebabkan oleh sistem FPTP, penyandang lelaki yang kuat mungkin berasa tergugat dan seterusnya menentang peningkatan calon wanita.

Bagaimanapun, adakalanya yang menjadi musuh bukan lelaki.

Pengerusi Unit Profesional Wanita PAS Dr Siti Aminah Muhammad Imran yang hadir sebagai tetamu di forum itu, berkata antara halangan kepada kemunculan lebih ramai pemimpin wanita dalam politik ialah wanita itu sendiri, iaitu apabila ahli wanita yang lebih senior melihat ahli baharu yang berpotensi sebagai pesaing politik, bukan pemimpin masa depan yang perlu dibimbing. Fenomena ini dikenali sebagai "sindrom ratu lebah."

"Kita perlu pastikan wanita sokong wanita. Kita berkemampuan jika diberikan peluang," katanya.

Data juga seakan menyokong kenyataan beliau. Berdasarkan data yang dikumpul oleh Bernama, calon wanita dalam pilihan raya umum yang lalu mencatat kadar kemenangan sekitar 50.4 peratus, tinggi sedikit berbanding calon lelaki yang mencatat 47.9 peratus. Walaupun saiz sampel lebih kecil, angka ini menunjukkan bahawa isu utama bukanlah kebolehmenangan.

Zaireeni Azmi turut menekankan perkara ini kepada Bernama. "Pengundi Malaysia mengundi parti, bukan calon. Ini bermaksud wanita mempunyai peluang yang sama seperti lelaki asalkan parti bersedia untuk mencalonkan mereka."

Beliau memberi contoh kejayaan di Johor yang menyaksikan 26.8 peratus wanita dalam kerajaan negeri.



KEKURANGAN BAKAT WANITA?



Namun begitu, disebabkan kebanyakan parti mempunyai sayap berasingan untuk wanita muda, apabila kepimpinan mula mencari calon wanita yang berkelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya, ramai dianggap masih belum cukup matang atau berpengalaman.

Akan tetapi, isu sebenar bukan kekurangan bakat, sebaliknya kekurangan keterlihatan dan pengalaman.

Noraida mencadangkan sayap pemuda parti tidak diasingkan mengikut jantina agar lelaki dan wanita muda mempunyai peluang yang sama untuk dikenali oleh mentor parti yang lebih senior serta menerima peluang bimbingan yang setara

"Saya rasa jika kita mahu mewujudkan persekitaran yang adil dan saksama, maka kita perlu mulakan dari peringkat belia. Namun pada masa sama, jika terdapat dominasi satu jantina dalam sesebuah sayap, perkara itu juga perlu ditangani," katanya sambil menambah bahawa pendekatan itu akan membantu membina budaya kesaksamaan.

Pun begitu, beberapa perubahan positif telahpun berlaku. PKR telah menetapkan perwakilan 30 peratus wanita dalam perlembagaannya, sama seperti DAP. Malah, DAP juga telah mencapai 30 peratus perwakilan wanita dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat yang mentadbir keseluruhan parti. Anis Afida Mohd Azli daripada Amanah turut mengumumkan bahawa ketua sayap wanita parti dilantik mengetuai strategi Amanah menjelang pilihan raya negeri Sabah yang akan datang.

Namun, parti-parti lain dalam gabungan Pakatan Harapan masih belum mencapai sasaran tersebut, dengan PKR mencatat sekitar 21 peratus perwakilan wanita, Amanah sekitar 19 peratus dan UMNO pada kadar 17 peratus.

Bagi parti dalam gabungan Perikatan Nasional pula, PAS mempunyai 15 peratus perwakilan wanita dalam jawatan kepimpinan pusat, manakala Bersatu sekitar lapan peratus. Parti MUDA yang tidak tergolong dalam mana-mana gabungan, merekodkan peratusan lebih tinggi iaitu 44 peratus. Semua angka ini berdasarkan data terkini yang dilaporkan oleh sumber berita awam.

Kasthuriraani Patto daripada DAP, berkata walaupun dikenali sebagai parti progresif, pengalaman pada pilihan raya 2018 mengajar DAP bahawa perubahan perlu dilakukan secara berperingkat, bukan serta-merta, kerana perubahan mendadak boleh mengejutkan sistem dan mengundang tindak balas balas negatif.



UJIAN SEBENAR KERELEVANAN



Jadi, masih relevankah sayap wanita? Jawapannya, berdasarkan konsensus pakar, bergantung pada sejauh mana ia mampu berevolusi. Jika terus bersifat simbolik dan terasing daripada kuasa sebenar dalam parti, mereka berisiko menjadi tidak lagi relevan. Namun, jika ia melalui proses pembaharuan - ditransformasikan menjadi platform yang bersepadu dan berasaskan dasar - ia masih berpotensi menjadi pemangkin perubahan.

Apabila forum melabuhkan tirainya, jelas bahawa persoalannya bukan lagi sekadar tentang struktur tetapi mengenai keberanian dan komitmen, bukan sahaja daripada ahli wanita tetapi juga sekutu lelaki, untuk berganjak daripada penyertaan simbolik kepada perkongsian kuasa yang sebenar.

"Kesimpulannya, kita tidak boleh lakukan ini tanpa sokongan lelaki, dan lelaki yang memahami akan menyokong perjuangan kita. Kaum lelaki juga perlu percaya bahawa perjuangan ini bukan hanya milik wanita. Apa yang diperjuangkan oleh seorang wanita hari ini akan membawa manfaat kepada setiap insan... lelaki, wanita dan semua," kata Kasthuriraani.

.-- BERNAMA


#sayap wanita #parti politik #pilihan raya #pembangkang