KUALA LUMPUR: Andaian kononnya Pakatan Harapan (PH) tidak mendapat dukungan pengundi Melayu iaitu hanya menerima 19 peratus undian kaum itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 November lepas adalah tidak benar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata berdasarkan data analisis awal kajian yang dilakukan mendapati secara keseluruhan gabungan itu menerima sebanyak 31 peratus undian daripada pengundi Melayu, dan data berkenaan akan dikemas kini dalam tempoh seminggu dua lagi.

Katanya jika PH hanya menerima 19 peratus sokongan pengundi Melayu, gabungan itu tidak mungkin mencatat jumlah kemenangan kerusi Parlimen yang banyak pada PRU15.

"Memang ada kawasan yang rendah (sokongan orang Melayu) iaitu di Kelantan dan Terengganu, tapi ada kawasan kita terima lebih 50 peratus undi Melayu seperti di Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini petang ini.