TAN SRI Annuar Musa meminta semua Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Ketereh untuk tidak tinggalkan parti itu walaupun selepas pemecatannya, pada Khamis lalu.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu meminta pemimpin akar umbi bahagian itu yang dipimpinnya selama 35 tahun untuk terus bersabar dan tidak bersedih dengan perkara tersebut.

"Pesan saya pada mereka, jangan bersedih, ini sebahagian daripada harga perjuangan dan memilih untuk berkata benar, walaupun pahit.

"Pesan saya, buat masa ini, jangan tinggalkan parti. Banyak bersabar.

"Petang ini Jam 3 petang, saya bertemu dengan semua pemimpin 123 cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri.

"Saya izinkan ucapan saya dibuat secara 'live' di Facebook. Tiada apa pun yang perlu disembunyikan, Insya-Allah," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Sabtu.


UMNO mengesahkan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa adalah antara tiga pemimpin akar umbi parti itu yang dipecat keahlian dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Annuar sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, khususnya berkaitan usaha jajaran baharu di antara Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

Dua lagi ahli UMNO yang dilucutkan keahlian adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim, serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim yang juga isteri penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.