PUTRAJAYA:Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa meragui kenyataan yang mendakwa kononnya 189 daripada 191 bahagian UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu.

Beliau menjelaskan, berdasarkan maklum balas yang dikumpulkan daripada pemimpin bahagian parti hanya  99 bahagian yang menolak kerjasama dengan Bersatu.

"Seluruh bahagian di Malaysia hanya ada 191 bahagian, dua tidak mengadakan mesyuarat, yang mesyuarat hanya 189.

"Adakah awak yakin semua 189 termasuk Ketereh menyokong untuk tidak bersama Bersatu dalam PRU15?

"Adakah bahagian Sembrong (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) sependapat begitu? Rembau (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) sependapat begitu? Putrajaya (Datuk SeriTengku Adnan Mansor) begitu? Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub) begitu? Adakah Bahagian Datuk Seri Mahadzir Khalid, Naib Presiden (Padang Terap) sependapat begitu? Just call tanya pemimpin-pemimpin kanan," katanya dalam sidang media di Kementerian Wilayah Persekutuan di sini, pada Rabu.

Annuar memberitahu, ada di antara mereka yang menerima Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi tidak menerima DAP atau sebaliknya.

Beliau menjelaskkan, mengikut peraturan yang dimaksudkan usul dalam perwakilan adalah usul yang akan dibawa ke Perhimpunan Agung dan usul itu perlu diangkat secara bertulis kepada urus setia parti.

"Tapi apa yang cuba dilakukan sehari selepas mesyuarat bahagian 1, 2 dan 3 haribulan, 4 haribulan terus berhimpun di Kuala Lumpur terus nak declare. Perlembagaan parti tidak membenarkan begitu. Dia ada proses dia," tambahnya.