SEREMBAN: "It's okaylah Tun M dan saya juga, kita dah selesai lah".

Itu jawapan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung isu berbangkit antara beliau dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menganggapnya telah selesai.

Beliau juga bersetuju dengan permintaan Dr Mahathir atau Tun M bahawa tiada keperluan untuk isu antara mereka dipanjangkan lagi.

"Tak payah dipanjangkan lagilah. Beliau (Tun M) pun dalam bual bicara itu kata 'not discuss anymore'," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengenalan Majlis Pengenalan Pasukan Jelajah Negeri Sembilan 2023 di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rancangan temu bual podcast Keluar Sekejap yang menjemput Dr Mahathir sebagai tetamu baru-baru ini.

Keluar Sekejap dikendali dan dihoskan oleh Khairy Jamaluddin bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan

"Kenapa Tun tak suka saya?" Itu soalan bersahaja ditanya Khairy Jamaluddin terhadap Tun M pada program tersebut.

Dr Mahathir yang kelihatan sedikit tergamam bagaimanapun menjawab soalan itu dengan tenang dengan mengatakan ia disebabkan Khairy pernah bersaing dengan anaknya, Mukhriz.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut dijemput dalam program sama, tanpa mengiyakannya, Khairy berkata, akan ada elemen kejutan.

"Kita ada perancangan untuk jemput pelbagai tokoh, jadi antaranya adalah 'surprise', takkan kita nak umumkan, kita simpan dulu," katanya. - Sinar Harian