POLITIK
Anthony Loke ingatkan DAP Pulau Pinang buat persiapan hadapi kemungkinan PRU, PRN serentak
Anthony berkata tahun depan dijangka menjadi tempoh kritikal berikutan beberapa negeri seperti Johor, Melaka dan Sarawak akan menamatkan tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. - Gambar fail
BUKIT MERTAJAM: DAP Pulau Pinang diingatkan supaya tidak leka dengan kedudukan selesa parti itu, sebaliknya perlu memulakan persiapan awal menghadapi sebarang kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata tahun depan dijangka menjadi tempoh kritikal berikutan beberapa negeri seperti Johor, Melaka dan Sarawak akan menamatkan tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
"Sekiranya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) membuat keputusan untuk mengadakan PRU serentak dengan negeri-negeri ini, Parlimen mungkin perlu dibubarkan lebih awal.
"Saya tidak kata ia pasti berlaku, tetapi tanggungjawab saya ialah mengingatkan pimpinan Pulau Pinang supaya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan, walaupun penggal negeri ini masih panjang," katanya.
Anthony berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2025 yang dihadiri 696 perwakilan di sini hari ini.
Beliau berkata berbeza dengan PRU lepas apabila negeri-negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) mengadakan pilihan raya secara berasingan, kini situasi berubah kerana kerajaan negeri dan kerajaan pusat berada di bawah pentadbiran sama, memerlukan strategi politik yang lebih selaras.
Pada masa sama, Anthony menegaskan perpaduan dan disiplin parti kekal penting dalam mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap DAP di Pulau Pinang.
"Kita berada dalam kedudukan yang selesa dengan rekod pentadbiran yang baik, tetapi jangan leka.
"Pengundi paling tidak suka kalau parti berpecah. Kekuatan DAP Pulau Pinang bergantung pada kesatuan dan perpaduan," katanya.
Beliau turut menyeru semua ahli menghormati keputusan pemilihan parti tahun lepas serta memberi sokongan kepada Pengerusi DAP Pulau Pinang Steven Sim, yang mengambil alih jawatan itu daripada Ketua Menteri Chow Kon Yeow selepas beliau tidak bertanding.
Pada PRN Pulau Pinang 2023, gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) memenangi 29 daripada 40 kerusi yang dipertandingkan.
-- BERNAMA