KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik, bebas dan telus dalam menguruskan perjalanan kempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan berlangsung.
Beliau berkata, selepas pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperkenan oleh Sultan Johor dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, tempoh kempen kini telah bermula dan perlu dijalankan secara berhemah serta berdisiplin.
“Jadi sekarang, bila sudah mula kempen saya harap dapat dijaga dan SPR harus jalankan tanggungjawab dengan baik, bebas, supaya dapat menjamin perjalanan Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan berikutnya dengan begitu baik,” katanya.
Anwar turut mengingatkan semua pihak supaya mematuhi peraturan serta menghormati etika sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan proses demokrasi berjalan lancar.
“Tadi sempat juga saya berbicara dengan kawan-kawan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri,( yang mana) saya harap juga mereka menjaga peraturan dan menghormati etika kempen,” beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah di ibu negara, pada Jumaat.
SPR terdahulu menetapkan 11 Julai sebagai hari mengundi bagi PRN Johor ke-16 manakala PRN Negeri Sembilan ke-16 pula ditetapkan pada 1 Ogos ini.