Datuk Seri Anwar Ibrahim sah akan bertanding di kerusi Parlimen P132 Port Dickson sebagai salah satu langkah pelan peralihan kuasa ke atas beliau untuk menjadi perdana menteri seterusnya.

Penyandang kerusi berkenaan Laksamana Pertama (B) Datuk Danyal Balagopal Abdullah berkata beliau telah menghantar notis pengosongan kerusi berkenaan kepada Speaker Dewan Rakyat, awal hari ini.

BACA: Speaker terima surat peletakan jawatan Ahli Parlimen Port Dickson

“Memandangkan saya berasal dari kampung dan mempunyai sifat ketenteraan yang telah sebati di dalam jiwa saya, bukan mudah untuk saya menyesuaikan diri dengan peranan sebagai seorang ahli politik,” kata Danyal Balagopal dalam sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, Naib Presiden Rafizi Ramli, dan Ketua Whip Parlimen PKR Datuk Johari Abdul.

Dalam pilihan raya umum yang lepas, Danyal Balagopal berjaya memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi di mana beliau telah memperoleh 36,225 undi berbanding 18,515 undi oleh calon Barisan Nasional dan 6,594 undi (PAS).

Sementara itu, Saifuddin berkata walaupun beberapa ahli Parlimen telah menyuarakan kesediaan mereka untuk memberi laluan kepada Anwar, namun perbincangan Biro Politik semalam telah bersetuju agar Port Dickson menjadi kerusi pilihan.

Ujarnya lagi, pemilihan kerusi itu telah mendapat persetujuan daripada Anwar sendiri dan jentera pilihan raya parti akan mula bergerak dalam usaha mengekalkan kerusi itu.

“Memadai saya sebut apabila Datuk Seri Anwar memilih Port Dickson, kita percaya pilihan itu dibuat atas satu wisdom yang boleh menjayakan rancangan yang telah kita usahakan,” katanya lagi.

Dalam sidang media sama, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, yang juga merupakan ahli Parlimen Permatang Pauh, dilantik sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya PKR untuk pilihan raya kecil itu.

Sementara itu, ditanya mengapa pengosongan kerusi itu dibuat sekarang sedangkan pelan peralihan kuasa akan berlaku dalam tempoh dua tahun, Saifuddin menjelaskan keputusan parti tidak terikat dengan tempoh yang ditetapkan itu.

Apa yang penting, jelasnya lagi, adalah bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat, seterusnya bagi membolehkan usaha mereformasikan institusi Parlimen dapat dijayakan.

Saifuddin, yang juga ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu berkata perkara itu telah pun dibawa ke perhatian pemimpin tertinggi Pakatan Harapan lain dan kesemua mereka telah memberi persetujuan dan sokongan terhadap langkah itu.

Pemilihan kerusi itu juga turut dipersetujui Pengerusi Pakatan Harapan yang juga perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar, yang juga bekas timbalan perdana menteri, sebelum ini menyuarakan hasratnya untuk kembali ke Parlimen sebelum sesi seterusnya akan berlangsung iaitu pada bulan hadapan.