Anwar ke perjumpaan PKR di Petaling Jaya

Bernama
Februari 27, 2020 06:10 MYT
Semalam, Pakatan Harapan (PH) memutuskan menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri, selepas kerajaan PH tumbang serta peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad. - Gambar fail
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilihat keluar daripada kediamannya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur sekitar 12 tengah hari dipercayai menuju ke Hotel Eastin, Petaling Jaya untuk mengadakan perjumpaan bersama Ahli Parlimen PKR.
Perkara itu disahkan isterinya yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turut meninggalkan kediaman itu setengah jam kemudian bagi menghadiri perjumpaan yang sama.
Terdahulu, Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar mengesahkan akan turut menghadiri perjumpaan itu.
Tinjauan Bernama sejak pagi tadi mendapati sehingga kini tidak kelihatan kenderaan lain yang keluar masuk kediaman itu.
Semalam, Pakatan Harapan (PH) memutuskan menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri, selepas kerajaan PH tumbang serta peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Dr Wan Azizah Wan Ismail #Mahathir Mohamad #Malaysia 2020 #Nurul Izzah Anwar #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #Permatang Pauh #Wan Azizah #Wan Azizah Wan Ismail