POLITIK

Anwar tidak akan ambil tindakan terhadap Ahli Parlimen PKR yang berbeza pandangan - Fahmi

Seth Akmal 18/07/2025 | 11:54 MYT
Menurut Fahmi, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang berbeza pendapat dengannya. - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang berbeza pendapat dengannya.

Anwar yang juga Perdana Menteri berpendapat Ahli Parlimen tersebut berhak untuk menyatakan pendapat mereka dan meminta ahli parti PKR memahami perkara ini.

“Beliau (Perdana Menteri) tidak berhasrat untuk mengambil sebarang tindakan, mereka berhak untuk menyatakan pandangan mereka..beliau telah meminta ketua-ketua cabang dan anggota faham perkara ini dan move on,” kata Pengarah Komunikasi PKR, Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata demikian semasa ditemui media selepas memghadiri pertemuan bersama pimpinan PKR Selangor di sini, pada Jumaat.

Malah Perdana Menteri turut menyatakan pasca pemilihan merupakan ruang untuk jentera dari peringkat akar umbi sehingga pemimpin untuk memperkukuh parti.

Beliau turut menggesa ketua-ketua cabang PKR untuk berjiwa besar dengan tidak meminggirkan kelompok yang tewas semasa pemilihan PKR pada Mei.

“Kalau sebelum ini sewaktu proses pemilihan ada kedengaran fenomena kepala tanpa badan, ekornya lain dan sebagainya.

“Tapi Perdana Menteri menggesa ketua-ketua cabang (yang menang) dalam proses melantik ahli jawatankuasa perlu merangkul semua kekuatan…walaupun dari kumpulan yang tewas ataupun yang bukan daripada kelompok mereka,” katanya.

Walaupun Perdana Menteri tidak menyebut secara khusus Ahli Parlimen yang mana berbeza pendapat namun umum mengetahui bahawa bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dilihat lantang mengkritik pengurusan parti pasca pemilihan secara terbuka.

Tindakannya itu menyebabkan beberapa ahli parti mendesak agar tindakan segera diambil terhadap beliau kerana didakwa telah mencemar imej parti.

Desakan kian hangat susulan Rafizi bersama beberapa ahli parlimen PKR menggesa agar Suruhanjaya Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat isu kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara.

Untuk rekod Rafizi gagal mempertahankan jawatan selaku Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah yang juga anak kepada Anwar.


#Anwar Ibrahim #Fahmi Fadzil #Rafizi Ramli #RCI #PKR