POLITIK

Audio tular: 'Biar polis siasat kesahihan rakaman'- Noh

Sinar Harian 08/04/2021 | 08:20 MYT
Noh berkata, perkara itu biarlah disiasat polis untuk menentukan kesahihan audio berkenaan. - Gambar fail/ Bernama
TANJONG KARANG: UMNO Selangor menyerahkan kepada polis untuk menyiasat berhubung dakwaan rakaman audio yang sedang tular di media sosial kononnya membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, perkara itu biarlah disiasat polis untuk menentukan kesahihan audio berkenaan.
"Kita tunggu polis menjalankan siasatan sama ada (audio membabitkan Ahmad Zahid dan Anwar) benar atau pun tidak," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Kemahiran Jangka Pendek (KKP) Masakan Frozen Food Kemas Parlimen Tanjong Karang di Pusat Masakan Kemas Sungai Gulang-Gulang, di sini pada Khamis.
BACA: 'Ada orang suara macam saya' - Anwar nafi terlibat audio tular perbualan bersama Zahid
BACA: Annuar Musa dakwa rakaman audio mirip suara Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi tulen
BACA: Audio tular: Ahmad Zahid dijangka buat laporan polis petang ini
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, Ahmad Zahid juga sudah membuat kenyataan pada Rabu bagi menafikan wujudnya perbualan sebagaimana dalam audio rakaman tersebut dan turut mengarahkan pegawainya membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
"Dalam zaman teknologi ini macam-macam boleh berlaku, biar pihak berkuasa jalankan siasatan dengan syarat laporan polis mesti dibuat oleh (Ahmad Zahid)," katanya.
Sebelum ini, tular penyebaran audio perbualan berdurasi empat minit 17 saat mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar yang mula tersebar sejak Selasa.
Rakaman Audio | Anwar Ibrahim nafi, akan buat laporan polis
ARTIKEL INI DISIARKAN DI PORTAL SINAR HARIAN PADA 8 APRIL 2021.
#Zahid Hamidi #Anwar Ibrahim #audio tular #UMNO Selangor #Noh Omar #suara mirip anwar #mirip zahid #laporan polis #biar polis siasat