KUALA LUMPUR:Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, menafikan dakwaan Perdana Menteri menghalang usul undi tidak percaya terhadapnya dibahaskan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, berdasarkan rekod Dewan Rakyat sebelum ini, usul yang sama pernah dikemukan dan tidak dihalang, namun tidak sempat dibahaskan disebabkan susun atur aturan mesyuarat.

"Berkenaan dakwaan Perdana Menteri tidak membenarkan usul undi tidak percaya dibahaskan dengan disenaraikan di penghujung Aturan Urusan Mesyuarat harian.

"Seperti mana Tan Sri sedia maklum, Peraturan 15 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan bahawa urusan kerajaan hendaklah didahulukan berbanding urusan lain.

"Dakwaan yang menyatakan bahawa Perdana Menteri tidak membenarkan usul tidak percaya dibahaskan dengan cara menyenaraikan di penghujung senarai kertas Aturan Urusan Mesyuarat harian adalah tidak benar kerana usul tersebut telah disenaraikan di dalam Aturan Urusan Mesyuarat mengikut Peraturan-Peraturan Mesyuarat," jelasnya dalam satu kenyataan media bagi menjawab dakwaan berkenaan, pada Rabu.


Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa agar usul tidak percaya yang dibawa oleh Dr Mahathir dikemukakan di Dewan Rakyat.

Perkara itu didedahkan oleh Tengku Razaleigh menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Azhar pada 25 September lalu.

Dalam pendedahan yang sama, turut dilampirkan adalah jawapan Azhar kepadanya dalam surat bertarikh 29 September, yang menerangkan dakwaan bahawa Perdana Menteri tidak membenarkan usul tidak percaya dibahaskan dengan menyenaraikan di penghujung Aturan Urusan Mesyuarat, adalah tidak benar.



Azhar dalam surat itu menjelaskan, Peraturan 15, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan bahawa urusan kerajaan hendaklah didahulukan berbanding urusan-urusan lain.

BACA: Tengku Razaleigh gesa Dewan Rakyat bahas Usul Tidak Percaya

Mengulas lanjut, Azhar berkata sebelum ini usul yang sama ke atas Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai Perdana Menteri pernah dikemukakan kepada Dewan tanpa ditolak.

Bagaimanapun usul persendirian jelasnya tidak mendahului urusan kerajaan dari segi susun atur aturan mesyuarat.

Azhar turut menyatakan sesuatu usul undi tidak percaya itu tidak akan dipercepatkan perbahasannya tanpa penerimaan oleh seorang menteri.

"Selain itu juga mana-mana usul yang ingin dikemukakan oleh mana-mana ahli Dewan Rakyat mestilah memberikan notis membentangkan usul dan akan dipertimbangkan berdasarkan peraturan mesyuarat," katanya.

Azhar turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada Tengku Razaleigh yang telah memberikannya peluang untuk menerangkan kedudukan sebenar mengenai isu tersebut secara bertulis dan lisan.

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YBM Tengku Razaleigh kerana telah memberi peluang kepada saya untuk memberi penerangan mengenai kedudukan usul undi tidak percaya yang YBM fikirkan dihalang daripada dibahaskan dengan cara penyenaraiannya di penghujung senarai perbahasan.

"Saya telah menjawab kemusykilan YBM Tengku Razaleigh secara bertulis seperti di dalam surat saya yang tersebut di atas.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada YBM Tengku Razaleigh di atas kesudian YBM memberi peluang kepada saya untuk menerangkan kedudukan perkara tersebut secara lisan kepada beliau," jelasnya lagi.