Azmin tempelak Tun Mahathir, ingatkan beliau siapa Anwar

Raja Hisyam Raja Zaid
September 7, 2017 08:30 MYT
Kritikan Azmin itu merujuk kepada kenyataan Dr Mahathir yang menyifatkan kandungan surat Anwar daripada penjara akan mengundang masalah kepada Pakatan Harapan. - Gambar fail
Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad tentang siapa Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pakatan Harapan.
Jelas Azmin, sebagai Ketua Umum Pakatan Harapan Anwar mempunyai hak untuk bersuara dan memberi pandangannya terhadap parti dalam Pakatan Harapan dan menegaskan semua pemimpin dalam Pakatan Harapan seharusnya menyelesaikan semua isu secara dalaman.
"Saya nak ingatkan Tun Dr Mahathir Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Ketua Umum kepada Pakatan Harapan. Beliau bukan sekadar Ketua Umum kepada Keadilan. Jadi sebagai Ketua Umum beliau juga berhak memberikan padangan dan cadangan".
BACA: 'Method' Anwar kawal pemimpin dari penjara punca PKR berpecah - Hishamuddin Rais
Kritikan Menteri Besar Selangor itu merujuk kepada kenyataan Dr Mahathir yang menyifatkan kandungan surat Anwar daripada penjara akan mengundang masalah kepada Pakatan Harapan ketika persiapan sedang dilakukan bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).
Jelas Azmin semua barisan pimpinan Pakatan Harapan sepatutnya menyelesaikan semua isu secara dalaman dan bukannya membuat kenyataan secara terbuka terutamanya kepada media.
Bagaimanapun, Azmin tidak menafikan wujudnya perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan.
"Perbezaan memang ada. Saya selalu sebut, Obama (bekas presiden Amerika Syarikat) selalu sebut democracy is noisy process, bising. Media kacau, media putar belit, media spin. Ini sebahagian daripada proses demokrasi dan saya perlu menerimanya. Soalnya bagaimana kita perlu mengurusnya. Sebagai pemimpin kita kena uruskan dengan baik dan bertanggungjawab .Buat (selesaikan) secara dalaman," katanya di Majlis Perasmian Selangor International Business Summit 2017, di sini hari ini.
Pada Rabu, Dr Mahathir menegaskan Pakatan Harapan akan menamatkan segala hubungan dengan Pas dan kenyataan Anwar (Ibrahim) melalui suratnya dari penjara yang memberi lampu hijau untuk PKR meneruskan rundingan dengan Pas hanya akan mengundang masalah kepada Pakatan Harapan.
#Anwar Ibrahim #Azmin Ali #Barack Obama #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #penjara #Pilihanraya Umum ke-14 #PRU14