KUALA LUMPUR:Sidang Dewan Rakyat pada Selasa bakal menjadi tumpuan apabila undian bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 akan berlangsung.

Walaupun diluluskan di peringkat dasar pada 26 November lalu menerusi undian suara majoriti, namun ia bukan jalan mudah bagi kerajaan sebelum usul itu dibentangkan di Dewan Negara.

Pada Isnin, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad secara jelas menyatakan menolak Belanjawan 2021.

Keputusan Mahathir itu dilihat bakal mempengaruhi tiga lagi Ahli Parlimen Pejuang yang lain iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Malah, kerajaan juga akan kehilangan satu undi sokongan apabila Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah secara jelas menyatakan turut tidak akan mengundi.

Selain itu, Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan hari ini turut kekal dengan pendirian untuk melakukan undian belah bahagi pada bacaan kali ketiga esok.

Majlis Setiausaha PH menegaskan, pengumuman dan penggulungan Belanjawan 2021 baru-baru ini dilihat tidak memenuhi apa dipohon dan diharapkan Ahli Parlimen malah harapan rakyat juga.

Jika diimbas pengundian di peringkat jawatankuasa sebelum ini, blok pembangkang sering membangkitkan undian belah bahagian.

Daripada 27 kementerian, 25 daripadanya sudah melepasi ujian itu di Dewan Rakyat dengan sebahagian besarnya menerusi undian suara majoriti.

Sementara sembilan kementerian diluluskan menerusi undian belah bahagian iaitu:
Perbahasan di peringkat jawatankuasa esok akan dimulakan dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Kerajaan mempunyai pilihan sama ada untuk meneruskan bacaan kali ketiga pada hari yang sama atau ditangguhkan ke hari Rabu.

Beberapa penganalisis sebelum ini menyatakan, sekiranya kerajaan gagal dalam pengundian pada bacaan kali ketiga, ia dilihat sebagai cerminan kepada hilang kepercayaan terhadap pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, ada penganalisis yang beranggapan tidak wajar untuk Belanjawan 2021 ditolak.

Namun, dengan majoriti yang dimiliki kerajaan yang begitu tipis ketika ini, segalanya mungkin berlaku.