POLITIK

Badai undi protes pengundi Cina terhadap PH dijangka tiba di Semenanjung - Ilham Centre

Seth Akmal 04/12/2025 | 13:45 MYT
Angin perubahan di kawasan parlimen yang pernah menjadi kubu kuat DAP kini kelihatan apabila pengundi Cina beralih kepada Warisan semasa PRN Sabah. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Trend pengundi Cina menolak Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 dijangka boleh merebak ke Semenanjung, kata Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar.


Ringkasan AI
  • Trend pengundi Cina menolak Pakatan Harapan semasa PRN Sabah 17 boleh merebak ke Semenanjung, kata Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre.
  • Pengundi Cina beralih kepada Warisan di Sabah disebabkan isu ekonomi seperti gaji minimum, SST dan subsidi RON95.
  • PH perlu berwaspada dengan keadaan ini untuk mengelakkan kehilangan sokongan pengundi dan memastikan angin perubahan tidak meranapkan peluang mereka pada PRU akan datang.


Hisommudin berpendapat, angin perubahan di kawasan Parlimen yang pernah menjadi kubu kuat DAP kini kelihatan apabila pengundi Cina beralih kepada Warisan.

“Di sana (Sabah) bagi saya ibaratkan taufan Senyar itu akan sampai melintasi Laut China Selatan, Saya rasa menjelang dalam setahun setengah bahang dan kemarahan protes ini akan berlaku di Semenanjung.

“Pengundi Cina seakan-akan sudah bulat dan nekad sebenarnya, kesan daripada impak politik di Sabah ini dengan keputusan (DAP) 8-0 dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya satu (kerusi).

“Bagi saya, mereka sudah jelas untuk menentukan keputusan di Semenanjung,” katanya semasa wawancara audio siar The Tiger Show yang dihoskan oleh Amin Iskandar dan disiarkan di platform Astro AWANI pada Khamis.

Berdasarkan kajian firma penyelidikan itu, semasa tempoh kempen PRN mendapati trend sokongan pengundi Cina terhadap Kerajaan Perpaduan terutamanya terhadap PH telah merosot secara mendadak berdasarkan faktor isu ekonomi.

Menurut Hisommudin, isu gaji minimum dilihat membebankan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kerana perlaksanaannya tidak mengambil kira kemampuan pemilik perniagaan, terutamanya di kawasan luar bandar.

Malah, dasar perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta subsidi RON 95 yang bersasar turut menyumbang kepada ketidakpuasan hati terhadap kerajaan persekutuan.

“Tekanan itu memberikan liabiliti dari segi konteks keuntungan yang diperoleh oleh mereka menjejaskan perniagaan mereka…semua aspek ini menyumbang kepada ketidakpuasan hati terhadap kerajaan,” katanya.

Beliau turut berpendapat, PH seharusnya tidak boleh ‘lena’ dengan keadaan yang berlaku memandangkan gabungan itu bergantung kepada pengundi di kerusi majoriti Cina dan campuran.

“Ini adalah tekanan kepada DAP, PH termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan angin perubahan itu tidak membadai dan juga meranapkan peluang PH untuk menjadi kerajaan pada penggal akan datang,” katanya.

Hisommudin turut mendedahkan dapatan mengenai sokongan terhadap Perdana Menteri di Sabah lebih popular iaitu 65-68 peratus berbanding di Semenanjung iaitu sekitar 53-55 peratus.

Namun menurutnya, dapatan tersebut tidak dapat diterjemah melalui undi apabila pengundi lebih memilih faktor khidmat calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding populariti Perdana Menteri.

“Pendirian pengundi kepada kami bahawa populariti PM kerana ‘ya sebab kami hormat dia sebagai pemimpin negara tetapi undi di DUN kami memilih calon yang melaksanakan service dan prestasi yang baik’,” katanya.

Tambahnya, tindakan PH tidak melibatkan Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick dalam rundingan kerusi semasa pra-PRN mencerminkan dominasi PKR dalam politik Sabah.

“PH bermula tempang apabila rundingan tidak melibatkan Ewon selaku pengerusi PH di Sabah…yang berlaku ialah overrule daripada pusat terutamanya PKR mendominasi rundingan kerusi,” katanya.

Beliau turut menyifatkan keputusan PRN pada 29 November lalu sebagai referendum rakyat Sabah terhadap persekutuan, apabila pengundi memilih parti tempatan.

Tambahnya, isu naratif berkaitan kepentingan Sabah perlu dipelihara oleh Kerajaan Persekutuan memandangkan terdapat 25 kerusi Parlimen di Sabah yang dilihat sebagai Kingmaker pada Pilihan Raya Umum ke-17 nanti.

“Kalau gagal berubah saya yakin akan dihukum di dalam PRU akan datang,” katanya lagi.

Keputusan PRN menunjukkan Gabungan Rakyat Sabah menang dengan 29 kerusi, diikuti Warisan 25 kerusi, Barisan Nasional enam kerusi, UPKO tiga kerusi dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dua kerusi.

Manakala Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Perikatan Nasional dan PH hanya memenangi satu kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan sebanyak 1.06 juta pengundi atau 60.94 peratus daripada keseluruhan 1.74 juta pengundi pada PRN kali ini.

#PRN Sabah #Barisan Nasional #gaji minimum #Pakatan Harapan