KUALA LUMPUR: Meluluskan emolumen penjawat awam akan menjadi isu pertama yang akan dibentangkan pada sidang Parlimen - perkara paling utama di bawah kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum Bajet 2023 dibentangkan semula.

"Sudah tentu kita perlu meluluskan emolumen (penjawat awam) terlebih dahulu pada 19 Dis supaya penjawat awam tidak perlu risau.

"Selepas itu beri kami sebulan lagi, kemudian kami akan membentangkan bajet baharu atau bajet yang disemak semula," kata Anwar semasa sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri semalam.

Sesi pada 19 Dis ini akan menjadi yang pertama untuk sesi Parlimen ke-15.

Anwar, 75, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam.

Bajet 2023 dibentangkan pada 7 Okt lepas oleh Menteri Kewangan ketika itu Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion.

Tiga hari kemudian, pada 10 Okt, Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Bajet mini, meluluskan separuh daripadanya

Profesor Madya Putra Business School Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata selain meluluskan emolumen penjawat awam, kerajaan juga mempunyai pilihan untuk membentangkan bajet mini bagi enam bulan pertama, sama seperti yang berlaku pada 1999.

Langkah itu katanya akan memberi lebih banyak masa untuk kerajaan perpaduan menyelitkan inisiatif baharu yang dijanjikan dalam manifesto mereka pada bajet berikutnya untuk baki enam bulan lagi.

"Pada 1999, mereka (kerajaan ketika itu) membentangkan bajet mini. Jadi, fokus bajet mini 2023 adalah untuk menangani isu mendesak berkaitan kos sara hidup dan kadar inflasi yang tinggi," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Tengku Zafrul menyiarkan mengenai isu itu di dalam media sosialnya dengan berkata di bawah Perkara 102(a) Perlembagaan Persekutuan, walaupun Bajet 2023 belum diluluskan, Parlimen boleh meluluskan sebahagian daripada perbelanjaan tahun tersebut.


[LAPOR LANGSUNG] Anwar Ibrahim mula tugas sebagai PM ke-10

Beliau berkata ini bermakna kerajaan boleh memanggil sidang Parlimen sebelum 31 Dis, 2022 untuk meluluskan sebahagian daripada Bajet 2023 yang telah dibentangkan sebelum ini.

"Kalau tidak ada kelulusan sebahagian daripadanya, operasi bulan Januari dan Februari akan terjejas. Kerajaan masih perlu laksanakan penyelenggaraan dalam perkhidmatan awam, bantuan kebajikan dan peruntukan subsidi.

"Oleh itu, Perlembagaan Persekutuan memberikan ruang untuk kerajaan mendapatkan kelulusan sebahagian bajet daripada Parlimen sebelum pembentangan semula Bajet 2023," katanya.

[TERKINI] Sidang media pertama Perdana Menteri ke-10




Menyemak semula Bajet 2023


Sementara itu, Profesor Ekonomi Universiti Sunway Yeah Kim Leng berkata kerajaan baharu dijangka menyemak semula Bajet 2023 dan semakan separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 untuk mencerminkan sebanyak mungkin janji manifesto dalam kempen parti gabungan Anwar sambil menampung atau mengimbangi apa yang dibentangkan sebelum ini.

"Memandangkan tempoh masa yang singkat bagi meluluskan bajet sebelum akhir tahun atau selewat-lewatnya awal tahun depan, adalah tidak digalakkan untuk memulakannya dari awal," tambah beliau.

Walau bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata kerajaan mempunyai masa untuk menyediakan bajet baharu dan membentangkannya semula, ini kerana senario yang sama pernah berlaku pada 1999, yang mana Bajet 2000 dibentangkan pada 29 Okt, 1999, namun Parlimen dibubarkan pada 11 Nov, 1999, dan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan pada 29 Nov, 1999.

Sehubungan itu, sesi khas Parlimen untuk meluluskan separuh daripada Bajet 2000 diadakan pada 20 Dis, 1999 dan ia lengkap dibentangkan semula pada 25 Feb, 2000 untuk kelulusan Parlimen.

"Perkara yang sama mungkin berlaku pada tahun ini," katanya.

-- BERNAMA