Hasrat pakatan pembangkang mahu mengurangkan peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sehingga RM8 bilion menimbulkan persoalan adakah gabungan itu akan memecat penjawat awam di jabatan itu apabila memerintah kelak, soal Datuk Rizal Mansor.

"Terdapat berpuluh agensi di bawah JPM seperti ESSCOM, APMM, Pengurusan Bencana, MKN, Audit, AG, SPR dan lain-lain lagi. Apakah ini petanda pembangkang akan buang beramai-ramai penjawat awam di jabatan itu bila memerintah kelak?

"Kalau inilah bayangan bajet pembangkang, kakitangan awam yang pro-pembangkang wajar fikir-fikirkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rizal yang juga juga pegawai khas Datin Seri Rosmah Mansor menempelak belanjawan alternatif pembangkang itu yang mendakwa boleh melakukan penjimatan sehingga RM20 bilion.

Katanya, kalau dilihat pentadbiran pembangkang di Pulau Pinang dan Selangor mustahil untuk berjimat cermat apabila dapat menguasai Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

"Kalau Pulau Pinang baru buat kajian terowong pun sudah habis beratus juta, macam mana nak jimat sampai RM20 bilion.

Justeru beliau menyifatkan Bajet Alternatif pembangkang itu sebagai tidak realistik.

"Ianya 'poyo' sebab lebih kepada nak memikat hati pengundi semata-mata, terlalu berdasarkan jangkaan dan tidak realistik," katanya lagi.

Pada Rabu, Pakatan Harapan (PH) membentangkan Bajet Alternatif 2018 yang menggariskan lima perkara utama sebagai penyelesaian kepada bebanan rakyat dan masalah ekonomi negara.

Ia melibatkan perbelanjaan berjumlah RM258.52 bilion, merangkumi RM200.16 bilion untuk mengurus dan RM58.35 untuk pembangunan, menurut buku bajet PH yang dilancarkan.

Dengan cogan kata ‘Belanja Berhemah, Potong Cukai, Pilih Harapan’, bajet PH mensasarkan untuk menghapuskan pembaziran dan rasuah, dianggar berjumlah RM20 bilion, serta pemotongan bajet Jabatan Perdana Menteri (JPM).