POLITICS

Baru empat hari jadi menteri, Mat Sabu sudah terima kunjungan Duta AS!

Zaim Ibrahim 24/05/2018 | 10:26 MYT
Mohamad Sabu dan Duta AS ke Malaysia, H.E Kamala Shirin Lakhdir, berbincang di Wisma Pertahanan, hari ini di ibu negara.- Facebook Kementerian Pertahanan
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang baru bertugas empat hari sudah menerima kunjungan hormat daripada Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, H.E Kamala Shirin Lakhdir.

Perjumpaan bersejarah itu diadakan di pejabatnya di Wisma Pertahanan, di ibu negara, hari ini.

Kunjungan hormat itu menjadi kebanggaan rakyat Malaysia kerana perjuangan beliau berpuluh tahun dalam arena politik amat berbaloi serta mendapat tumpuan dalam dan luar negara.

Jika sebelum ini Mat Sabu sering tampil dalam keadaan lucu tetapi kini beliau dilihat lebih profesional.

Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Abang Mat atau Mat Sabu turut ditemani Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Junaidah Kamarruddin serta beberapa pegawai Kanan Kementerian Pertahanan.

Perjumpaan tersebut turut diiringi beberapa pegawai Duta AS dan pegawai kanan Kementerian Pertahanan.

Rata-rata komen rakyat Malaysia di Facebook memuji Mohamad Sabu dengan komen-komen yang mencuit hati dan beranggapan peristiwa itu sebagai satu sejarah.

BACA: Aksi Mat Sabu pergi kerja sambil polis pengiring, pengawal peribadi tunggu, cuit hati netizen

Sebelum ini juga, Mat Sabu dilihat penuh bersahaja keluar bekerja daripada rumahnya yang sederhana dan berpakaian yang ringkas tetapi kekal segak.


#Amerika Syarikat #Duta AS #H E Kamala Shirin Lakhdir #Kementerian Pertahanan #kerajaan Persekutuan #Mat Sabu #Menteri Pertahanan #Wisma Pertahanan