SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) memberi amaran untuk membatalkan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama kerajaan sekiranya Rang Undang-undang (RUU) Antilompat Parti tidak dibentangkan seperti yang dijanjikan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan PH mendesak kerajaan menggubal RUU itu bulan ini bagi menghentikan tindakan wakil rakyat lompat parti yang menurutnya telah mencemarkan keseluruhan proses demokrasi negara.

"Pakatan Harapan juga mewajibkan kerajaan meluluskan satu Akta Anti Lompat Parti pada bulan Mac ini untuk memastikan bahawa kita akan hapuskan katak politik sama sekali dalam politik Malaysia.

"Sama ada Akta Anti Lompat Parti akan diluluskan pada bulan Mac seperti dalam MoU dengan Perdana Menteri kita tidak tahu.

"Ini kerana, kalau kita lihat Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat esok ada cadangan pindaan Perlembagaan, kita akan tahu (perincian) esok.

"Tetapi sekiranya tak ada pindaan Perlembagaan untuk luluskan Akta Anti Lompat Parti seperti dijanjikan MoU, MoU tidak bermakna lagi dan akan dimansuhkan sama sekali," tegasnya ketika berucap semasa Kongres DAP Kebangsaan Ke-17 hari ini.

BACA: RUU Anti Lompat Parti, had tempoh jawatan PM masih perlu diteliti - Wan Junaidi

Pada Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Kabinet memutuskan bahawa RUU itu masih memerlukan penelitian lanjut bagi memastikan pindaan itu mendapat sokongan di Dewan Rakyat.