Bekas ahli MT UMNO tawar diri bertanding ketua bahagian Bersatu Pengkalan Chepa
Vivi Sumanti
Januari 18, 2020 11:30 MYT
Januari 18, 2020 11:30 MYT
Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Hassan Harun, hari ini menawarkan diri bertanding Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pengkalan Chepa pada pemilihan parti itu hujung bulan ini.
Hassan, 74 tahun, sebelum ini keluar UMNO dan menyertai Bersatu pada November 2018.
Katanya, beliau menawarkan diri bertanding selepas melihat keadaan pendidikan anak bangsa, terutama di Kelantan, yang agak ketinggalan.
"Saya menawarkan diri bertanding jawatan tersebut sebagai usaha saya membantu anak bangsa, terutamanya dalam soal pendidikan.
"Dan kawasan yang ingin ditandingi itu memerlukan pemerhatian dalam aspek pendidikan dan juga ekonomi," katanya ketika ditemui di program 'Back to School' di sini.
Hassan yang merupakan bekas pengarah operasi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 lalu dan bekas Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan 2016, sebelum ini aktif membantu UMNO dalam kempen dan juga gerak kerja pilihan raya di Kelantan.
Beliau yang juga bekas ahli korporat dan pemilik sekolah persendirian Wadi Sofia itu turut menawarkan khidmat dan pengalamannya membantu Kelantan meningkatkan ekonomi melalui penyertaannya dalam Bersatu.
Ketua Bahagian Bersatu Pengkalan Chepa ketika ini disandang ahli perniagaan, Ahmad Nasruddin Abdullah.
#Bersatu
#bertanding
#Hassan Harun
#ketua bahagian
#majlis tertinggi
#pemilihan parti
#pendidikan
#Pengkalan Chepa
#UMNO