Belanjawan 2021: Ada baiknya pimpinan PH hubungi kerajaan tanpa perlu gesa sesiapa - Faizal Azumu

Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 29, 2020 13:55 MYT
Persetujuan Majlis Presiden Pakatan Harapan itu menunjukan kefahaman mereka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Khamis yang menunjukan tanda sokongan terhadap kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2021 adalah tanda mereka menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar semua Ahli Parlimen memberikan sokongan terhadap belanjawan tersebut.
Timbalan Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika dihubungi Astro AWANI berkata, beliau yakin serta percaya keputusan itu dibuat itu adalah atas kesedaran dan kepentingan untuk meluluskannya di Dewan Rakyat nanti.
“Saya percaya mereka tahu bahawa kepentingan untuk meluluskan belanjawan itu dan segala usaha yang kita perlukan secara bersama untuk kebaikan negara perlu kita lakukan terutamanya ketika kita sedang menentang pandemik COVID-19.
BACA: Agong mahu ahli politik hormat titah Baginda, beri sokongan padu pada Belanjawan 2021
BACA: PM digesa adakan rundingan segera Belanjawan 2021 dengan pembangkang - Majlis Presiden PH
“Ketika mereka membuat gesaan agar Perdana Menteri segera memanggil kepimpinan Pakatan Harapan untuk membincangkan belanjawan negara, Saya kira ada baiknya juga kepimpinan Pakatan Harapan menghubungi kerajaan untuk menyampaikan pandangan dan idea-idea mereka demi kepentingan rakyat tanpa perlu menggesa sesiapa,” katanya dalam temubual yang disiarkan secara langsung itu.
Jelas Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak, walau apapun ia adalah petanda yang baik yang akan disambut baik oleh rakyat jika hasrat tersebut mampu mereka laksanakan.
“Sebaiknya mereka menghubungi kerajaan dan kita boleh duduk bersama membincangkan apakah yang kita boleh bawakan dalam belanjawan negara yang bakal dibentangkan nanti,” katanya lagi.
#Pakatan Harapan #Yang di-Pertuan Agong #Menteri Besar #Perdana Menteri #Parlimen #Majlis Presiden Pakatan Harapan #Menteri Besar Perak #Dewan Rakyat #COVID-19 #Belanjawan 2021 #Ahmad Faizal Azumu