KUALA LUMPUR : Pemilihan ahli kabinet disifatkan sangat penting dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menyegerakannya dalam usaha pemulihan negara.

Penganalisis Politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian, berpendapat apa yang penting adalah pembentukan kabinet yang kecil merangkumi ahli-ahli yang mempunyai ketokohan dan kewibawaan dalam mengurus krisis yang melanda negara ketika ini.

“Bagi saya kita memerlukan kabinet yang kecil, yang kita boleh panggil sebagai kabinet mengurus krisis, kabinet yang ada ketokohan, kewibawaan dan kepakaran.

“Kabinet ini juga harus berdasarkan kepada merit dan bukan kredit hanya kerana diberikan sokongan, kabinet yang berdasarkan kualiti dan bukan kuantiti seterusnya dapat beri gambaran untuk mengurus kemahuan rakyat dan bukan mengurus kemahuan politik,” katanya menerusi program AWANI Pagi pada Isnin.

Beliau turut berpandangan pemilihan ahli kabinet ini akan mencermikan pembinaan dan penjenamaan kepimpinan Ismail Sabri menjadi pengemudi proses pemulihan negara.



AWANI Pagi: Menjelang pembentukan Kabinet baharu


Dalam pada itu, beliau menjelaskan pemilihan ahli kabinet boleh dipertimbangkan dalam kalangan ahli teknokrat dan mereka yang mempunyai kepakaran dalam membentuk kabinet yang mantap.

“Bagi saya beliau (Ismail Sabri) boleh mempertimbangkan sekiranya figura yang ada kepakaran dilantik dalam kabinet kerana kabinet yang mengurus krisis sudah pasti memerlukan pendekatan luar biasa.

“Selain itu, ia turut memerlukan pemikiran luar biasa, tanggungjawab luar biasa serta memenuhi objektif luar biasa.

“Jadi ahli teknokrat, ahli akademik atau mereka yang ada pengalaman dalam bidang tertentu untuk tangani krisis boleh diberikan pertimbangan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, pembentukan kabinet ini perlu merangkumi ahli yang mahu bekerja dan bukan yang mahu memuaskan hati semua pihak atau demi menjaga kepentingan politik semata-mata.

Pada masa sana, penganalisis politik, Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain senada dengan cadangan pembentukan kabinet yang lebih kecil.

Malah tegasnya, jawatan yang tidak berkepentingan perlu dielakkan bagi memastikan barisan jemaah menteri yang efektif dalam usaha untuk membantu pentadbiran baharu.

“Bagi saya saiz kabinet perlu dirasionalisasikan dan saiz kabinet tidak perlu besar,. Kita tidak perlu timbalan menteri yang ramai atau penasihat yang bertaraf menteri.

“Perkara ini perlu dielakkan dan yang penting adalah meletakkan individu dan tokoh yang penting dalam pembentukan kabinet.

“Saya turut berpendapat, jawatan menteri perlu dilihat kembali dan bukan hanya dalam kalangan ahli politik tetapi juga boleh menggunakan kepakaran ahli profesional.

“Seperti teknokrat atau mungkin ahli politik yang tewas dalam Pilihan Raya Umum tetapi menunjukkan rekod yang baik,” ujarnya.

Jelasnya lagi, kombinasi ini dapat memastikan tugas sebagai menteri yang efektif, berkesan dan dapat membantu Perdana Menteri.



Barisan Kabinet | Dijangka diumumkan minggu ini