KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberikan masa walaupun pernah menabur pelbagai janji ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim bagaimanapun berkata, mereka tidak boleh melengahkan dan perlu menyegerakan janji termasuk melaksanakan agenda reformasi agar usaha itu tidak dibiarkan begitu sahaja.

“Masa tempoh berkempen mereka sudah selesai. Sejujurnya kita harus menyatakan berilah mereka ruang dahulu.

“Berilah mereka masa sedikit oleh kerana baru lagi masuk pejabat dan lebih sedikit dua bulan,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Parlimen Siri 1.0: Reset Ekonomi Malaysia di Parlimen di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Rais berkata, pengasingan kuasa Parlimen dan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen merupakan antara agenda pembaharuan perlu disegerakan oleh kerajaan baharu.

Tambahnya, setiap Perdana Menteri mempunyai moto dan wawasan tertentu tetapi hasrat itu mestilah diterjemahkan dalam bentuk realiti.

"Oleh itu segala transformasi bukan sahaja sesuatu yang terapung di udara, tetapi biarlah menjadi satu lambang yang diterjemahkan kepada masyarakat inginkan," ujarnya.

Rais turut melihat segala intipati transformasi pentadbiran seperti terkandung memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang sebelum ini wajar dijadikan garisan untuk melakukan reformasi dalam negara ini. -Sinar Harian