[TERKINI] Penamaan Calon PRN Sabah Bermula – Siapa Bakal Bertanding? Ikuti Perkembangan Terkini di Sini!
POLITIK

[BERITA TERKINI] PRN Sabah: Ini tawaran dan janji Bung Moktar untuk DUN Lamag

Syaff Syukri 15/11/2025 | 06:43 MYT
Mengulas mengenai pertembungan enam penjuru di DUN Lamag, Bung menyifatkan perpecahan dalam parti lawan sebagai satu kelebihan kepada BN. - Gambar fail
KINABATANGAN: Masalah berkaitan jalan raya, air bersih dan gangguan bekalan elektrik akan diberi keutamaan sekiranya Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, kata Datuk Seri Bung Moktar Radin.


Ringkasan AI
  • Masalah jalan raya, air bersih, dan bekalan elektrik akan diberi keutamaan jika BN menang di DUN Lamag, menurut Datuk Seri Bung Moktar Radin.
  • Bung menjanjikan penyelesaian bagi masalah tersebut dalam jangka tiga tahun dan merancang pembangunan pusat pentadbiran baru serta kompleks sukan untuk anak muda.
  • Kelebihan BN di Lamag disifatkan Bung sebagai perpecahan dalam parti lawan yang memberi peluang kepada BN untuk mendekati masyarakat.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut menyatakan walaupun Lamag sudah menerima pelbagai pembangunan sebelum ini, masih ada perkara mendesak yang memerlukan perhatian segera.

“Di Lamag ini sebenarnya tidak banyak lagi yang boleh kita tambah dari segi pembangunan. Projek jalan yang sedang dibina sekarang inilah pembangunan utamanya.

“Ini perlu penekanan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan kewangannya.

“Masalah elektrik (yang mati-mati) dan masalah air bersih ini akan kita tangani dalam masa jangka tiga tahun,” katanya.

Bung berkata demikian ketika ditemui media selepas pelancaran jentera BN bagi DUN Lamag (N58) dan DUN Sukau (N59), di sini, pada Sabtu.

Bung turut menyatakan aspirasinya membangunkan kemudahan untuk anak muda sekiranya diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, pada 29 November ini.

Beliau juga merancang untuk membangunkan pusat pentadbiran baharu di kawasan berbukit bagi memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan kerajaan.

“Dan (untuk) pembangunan anak muda, kita akan bina kompleks sukan, InsyaAllah, kita akan buat.

“Untuk pusat pentadbiran baharu itu, kita bina di tanah yang di atas bukit itu serta-merta. Ini keperluan untuk pegawai daerah dan agensi kerajaan (bagi membolehkan mereka) memberi perkhidmatan kepada rakyat,” jelasnya.

Mengulas mengenai pertembungan enam penjuru di DUN Lamag, Bung menyifatkan perpecahan dalam parti lawan sebagai satu kelebihan kepada BN.

Alhamdulillah, ternyata GRS telah berpecah. Pakcik lawan anak buah, beripar pun berantakan. Ini perkembangan terbaik untuk BN menempatkan diri di kalangan masyarakat,” tambah beliau.

Mengenai strategi kempen, beliau berkata jentera BN akan digerakkan mengikut zon dengan pendekatan program besar melibatkan sehingga 2,000 anak muda, diikuti aktiviti berskala kecil di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Tambahnya, beliau sendiri akan turun ke kawasan yang dianggap mencabar, manakala zon lain dikendalikan pemimpin utama parti.

“Saya akan pergi ke kawasan yang saya lihat ada kesukaran untuk menang. Selebihnya, saya beri kepada mereka untuk mengurus. Kita akan monitor perkembangan dari masa ke masa,” katanya.

Bung akan mempertahankan kerusi DUN Lamag dan akan dicabar lima calon lain daripada parti
Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Impian Sabah (PIS), Warisan, Perikatan Nasional (PN) dan bebas.

Pada PRN16, Bung berjaya memenangi kerusi di Lamag dalam saingan lima penjuru dengan memperoleh 3,035 undi dengan mencatatkan majoriti tipis 661.

DUN Lamag antara 13 DUN baharu dan mula dipertandingkan pada 2020 dan mempunyai 13,859 pengundi berdaftar.

#Bung Moktar Radin #Barisan Nasional #DUN Lamag #Calon PRN Sabah 2025