[TERKINI] Penamaan Calon PRN Sabah Bermula – Siapa Bakal Bertanding? Ikuti Perkembangan Terkini di Sini!
POLITIK

[BERITA TERKINI] PRN Sabah: Yamani hasrat perkukuh industri minyak dan gas di Sipitang

Khalis Khadir 15/11/2025 | 06:02 MYT
Yamani bercakap kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Sipitang, di sini, pada Sabtu. - Foto Astro AWANI
SIPITANG: Generasi muda perlu diberi ruang lebih besar untuk menikmati limpahan pembangunan industri minyak dan gas yang sedang berkembang pesat di Sipitang.


Ringkasan AI
  • Generasi muda perlu diberi peluang dalam pembangunan industri minyak dan gas di Sipitang untuk memastikan manfaat pekerjaan kepada mereka.
  • Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Sindumin, Datuk Yamani Hafez Musa menegaskan komitmen untuk tunaikan manifesto berkaitan pembangunan industri jika terpilih dalam PRN Sabah.
  • Pertembungan 10 penjuru di Sindumin dipandang sebagai demokrasi subur, dengan fokus utama pada pembangunan setempat dan kerjasama parti politik dianggap penting untuk kepentingan rakyat Sabah.


Calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin, Datuk Yamani Hafez Musa berkata, ia menjadi salah satu manifesto yang akan ditunaikan sekiranya beliau diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

“Kita mahu pastikan peluang pekerjaan daripada industri-industri yang membangun di Sipitang ini memberi manfaat kepada anak-anak muda di Sindumin, khususnya dalam sektor minyak dan gas,” katanya kepada Astro AWANI selepas proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Sipitang, di sini, pada Sabtu.

Anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman itu berkata, pengalamannya sebagai bekas Timbalan Menteri Kewangan II memberi kelebihan kepada beliau untuk memahami keperluan memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

“Sudah tentu pengalaman di peringkat Persekutuan amat penting kerana kita tahu ia saling terkait, kita perlu perhebatkan dari masa ke masa. Tanpa kerjasama, kita tidak mahu masyarakat atau kawasan kita ketinggalan dari segi peruntukan,” ujarnya.

Mengulas pertembungan 10 penjuru di Sindumin, beliau menyifatkan ia sebagai tanda demokrasi yang subur, selain menegaskan keutamaannya adalah untuk memartabat agenda pembangunan setempat.

Beliau turut menepis kebimbangan mengenai hubungan PKR, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat akar umbi, sambil menegaskan kerjasama antara parti-parti itu masih kukuh demi kepentingan rakyat Sabah.

“Saya rasa parti PKR dan BN dan GRS, biar pun ada kenyataan-kenyataan tertentu… secara dalaman di peringkat akar umbi, kita masih lagi boleh bersatu dan bekerjasama untuk memastikan yang paling penting ialah kemajuan masyarakat setempat,” jelasnya.

Selepas proses penamaan calon tamat jam 10 pagi tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan seramai 10 calon dipertaruh di Sindumin, iaitu salah satu DUN di bawah Parlimen Sipitang selain kerusi Lumadan.

Ini bermakna terdapat empat pertambahan calon berbanding enam calon yang berentap di Sindumin pada PRN16, dimenangi calon Parti Warisan, Datuk Yusof Yacob.


#Calon PRN Sabah #amani Hafez Musa #DUN Sindumin #Sipitang #industri minyak dan gas #terkini