KUALA LUMPUR:Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) komited untuk bekerjasama dan meraih kepercayaan rakyat dalam pelbagai kaum di negara ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sejak empat tahun penubuhan, Bersatu telah diterima dan mendapat sokongan baik dalam kalangan orang Melayu.

Jelas beliau, asas utama yang dibawa parti tersebut termasuk memartabatkan agama Islam, kepentingan bangsa Melayu dan memperkukuhkan kedaulatan tanah air, diiktiraf oleh parti lain.

"Dalam masa yang sama kita berpendirian untuk sentiasa bekerjasama dengan bangsa-bangsa lain untuk memastikan kelangsungan kemerdekaan negara ini terjaga, dengan memastikan kemakmuran sampai kepada rakyat.

"Untuk melakukan segala perkara ini, asas penting yang perlu kami bawa adalah nilai-nilai murni dalam pertadbiran sesebuah parti atau apabila kami mentadbir kerajaan," katanya dalam temu bual Buletin Khas AWANI, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Menteri Besar Perak itu berkata, nilai-nilai murni tersebut termasuk berpegang kepada pendirian untuk menolak rasuah dan salah guna kuasa.

Jika wujud perasaan angkuh dalam kalangan pemimpin di pelbagai peringkat, perkara itu jelas beliau boleh merosakkan usaha memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

"Jadi, nilai itu yang kami bawa dan kami sajikan kepada rakyat, dan Alhamdulillah selepas empat tahun penubuhan parti ini, kami melihat sokongan orang ramai terutama sekali dalam kalangan orang Melayu," ujarnya.

Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2020 akan dikendalikan secara maya, pada Sabtu (esok).